KEHADIRAN dua varian baharu Covid-19 dalam negara memang sepatutnya pihak berkuasa berkenaan melaksanakan pemantauan yang ketat ke atas para pelancong dari Negara China yang mahu masuk ke Malaysia.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan semua pelancong dari China menunjukkan keputusan negatif Covid-19 sebelum tiba di Malaysia.
Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya perlu membenarkan pelancong dari China yang lengkap divaksin dan negatif ujian RT-PCR masuk ke negara ini.
“Apabila tiba di pintu masuk atau dalam tempoh 24 jam, pengembara perlu menjalani saringan Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) profesional untuk Covid-19.
“Perkara yang sama juga perlu dilakukan bagi pelancong dari negara lain yang mengalami peningkatan kes yang ketara (Covid-19),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terdapat kebimbangan bahawa kekurangan tenaga kerja di kemudahan kesihatan awam akan mengatasi sistem penjagaan kesihatan jika kes yang memerlukan kemasukan ke hospital dan rawatan rapi mula meningkat.
“Mungkin sebagai langkah tambahan berjaga-jaga, kerajaan boleh melihat pembukaan secara beransur-ansur kepada pengunjung dari China dan melonggarkan sekatan apabila keadaan di sana bertambah baik dengan ketara,” katanya. – SM