Ekonomi

Pelan pemulihan bolehkan kerajaan buat perancangan lebih tersusun

Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam bertepatan dalam memastikan kerajaan dapat melaksanakan perancangan yang lebih tersusun mendepani pandemik COVID-19.

Pensyarah Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata pelan berkenaan amat jelas dan boleh dijadikan sandaran kerajaan untuk mencapai pemulihan dari cabaran pandemik itu.

Bagaimanapun kejayaan pelan itu amat bergantung kepada kerjasama rakyat dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan, selain faktor sampingan seperti varian baharu COVID-19 serta tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang ramai, lapor Bernama.

Muhyiddin berkata, pelan itu diyakini dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober.

Perdana Menteri berkata, pelan itu adalah satu strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 merangkumi empat fasa yang akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri pula melihat sasaran pelan pemulihan berkenaan yang membabitkan pembukaan penuh semua sektor pada jangkaan seawal November atau Disember amat bersesuaian dengan situasi semasa negara.

Bagaimanapun, katanya, tempoh empat bulan mendatang iaitu dari Julai hingga Oktober akan menentukan sama ada pelan itu mampu mengembalikan atau tidak kehidupan normal rakyat atau sekurang-kurangnya dengan kelonggaran pelbagai SOP.

“Pelan yang dirangka ini adalah sesuai dengan jangka masa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang menyasarkan kita mencapai imuniti kelompok namun saya rasa ia boleh ditambah baik dengan penyelarasan pelbagai program bantuan kewangan untuk rakyat terjejas,” katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, berpendapat empat fasa dalam Pelan Pemulihan Negara sangat penting untuk negara memandangkan terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan secara teratur.

“Pandangan saya, pentingnya fasa ini kerana perkara yang hendak diselesaikan ini perkara besar, secara logiknya perlu bertahap untuk tempoh pemulihan.

“Untuk mencapai imuniti berkelompok sehingga 80 peratus memerlukan masa namun perlu diakui proses vaksinasi perlu disegerakan dan soal pemulihan ekonomi juga perlu dipercepatkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata pelan itu akan banyak membantu dalam melaksanakan langkah pemulihan kerajaan negeri itu.

Dalam kenyataan malam tadi, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Sabah akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

(Visited 487 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button