Politik

UMNO diambang perpecahan

UMNO dilihat hanya mahukan kuasa sehingga ada dalam kalangan pemimpin mereka sanggup bergaduh sesama sendiri dan menyerang kerajaan yang mereka duduk di dalamnya.

Pengarah Islamic Institute of Independent Research on Democracy, Mohd. Fadli Ghani berkata, bibit-bibit perpecahan kembali semula dalam parti itu sebagaimana pernah berlaku dalam sejarah bukan hanya di antara UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malah bersama Muafakat Nasional (MN).

Menurut beliau, UMNO mula menjajakan Jajaran Baharu dan gosip hubungan sulit dengan PKR-Pakatan Harapan (PH) sudah heboh kedengaran.

“Tetapi yang paling parah sebenarnya, UMNO kini sudah membentuk sekurang-kurangnya dua kumpulan dalaman. Mereka menunggu saat untuk berpecah lagi.

“Saya tidak tahu siapa yang memimpin kumpulan mana. Tetapi semua rakyat, pemerhati politik dan orang UMNO tahu bahawa mereka tidak bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan.

Mohd. Fadli berkata, dalam parti UMNO mempunyai beberapa ‘kepala’ yang saling tidak bersetuju sesama sendiri.

Katanya, perkara itu jelas boleh dilihat berhubung keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) adalah tidak selari dengan tindakan mereka.

Begitu juga, katanya, pendirian Majlis Tertinggi (MT) bertentangan dengan apa yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Lain MT UMNO tegaskan, lain pula ahli Parlimen UMNO mengambil pendirian. Presiden UMNO mahu Perdana Menteri meletak jawatan, wakil rakyat UMNO mahu Presiden mereka yang letak jawatan. Mereka saling bertentangan.

“Entah apa perkiraan politik UMNO, tetapi jelas bahawa mereka sekarang di ambang perpecahan. Jika UMNO tersilap langkah, mereka akan karam. Runtuh kuasa dan pengaruh mereka, hancur tenggelam dan karam,” katanya.

Beliau berkata, jika UMNO berterusan mengambil tindakan sedemikian, lambat laun UMNO akan menjadi sejarah dan kenangan, bakal tersimpan di muzium perjuangan.

“Apakah ke situ hasrat para pemimpin UMNO di dalam mengemudi bahtera mereka? Saya tidak tahu. Tetapi daripada apa yang sedang berlaku, saya katakan UMNO sekarang secara perlahan-lahan sedang menggali kuburnya sendiri. Akhirnya mendianglah ia,” katanya.

(Visited 629 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button