Nasional

PVATM terima kenaikan pencen dua persen dibatalkan

PERSATUAN Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menghormati keputusan Mahkamah Rayuan mengenai Pencen Kakitangan yang dibuat pada 13 Januari lalu mengenai kenaikan pencen tahunan sebanyak dua persen adalah bertentangan dengan perlembangaan dan terbatal.

Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar berkata, beliau berpandangan pelaksanaan kenaikan kadar dua persen pencen ‘across the board’ tidak menepati prinsip keadilan.

“Ini kerana jurang antara perbezaan penerima pencen generasi lama dan generasi baru adalah besar.

“Jumlah penerima pencen setakat ini adalah sebanyak 130,495 orang termasuk balu, tetapi hanya 10 persen daripada jumlah ini mendapat pencen kadar tinggi, dan lagi 90 persen hanya memperoleh kadar pencen yang kecil.

“Jadi, keputusan mahkamah ini adalah diterima bagi merapatkan jurang perbezaan kadar pencen yang besar ini.

“Saya bagi pihak warga PVATM, memohon agar Majlis Angkatan Tentera (MAT) dapat mengambil peluang dan kesempatan daripada keputusan Mahkamah Rayuan untuk menambahbaik skim pencen veteran ATM, termasuk menyelaras pencen veteran ATM yang telah diperjuangkan sekian lama sejak tahun 2015,” katanya.

Tambahnya, terma dan syarat perkhidmatan anggota tentera adalah tidak sama dengan sektor perkhidmatan awam kerana sektor perkhidmatan awam dibenarkan berkhidmat sehingga umur 60 tahun yang berbeza dengan perkhidmatan ATM yang berkhidmat mengikut pangkat dan umur.

“Sektor perkhidmatan awam layak mendapat pencen maksima 60 persen daripada gaji akhir tetapi majoriti anggota bawahan LLP (Lain-Lain Pangkat) diwajibkan berkhidmat selama 21 tahun untuk layak menerima pencen.

“Syarat minima bagi pesara tentera untuk layak diberi pencen 60 persen daripada gaji akhir adalah selama 25 tahun tiga bulan, jadi majoriti veteran ATM tidak layak menerima pencen itu kerana tempoh perkhidmatan yang singkat.

“Jadi, hampir 80 persen pesara tentera hanya layak menerima pencen 50 persen daripada gaji akhir,” katanya.

Beliau berkata warga veteran ATM menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan kebijaksanaan MAT bagi menentukan pelarasan pencen yang dibuat serta mengesyorkan kadar kenaikan pencen tahunan yang terbaik untuk warga balu veteran ATM. – SM

(Visited 32,426 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button