Hiburan

Pelakon veteran Pak Lan semakin uzur

Pelakon veteran, Roslan Saleh, 65, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Lan kini terlantar di atas katil dan tidak lagi berupaya bergerak manakala penglihatan matanya pula semakin tidak nampak disebabkan penyakit kencing manis.

Dia yang terkenal dengan watak lelaki misteri dalam filem Sembilu 11 pada 1995 kini bergantung hidup kepada anak bongsunya, Ahmad Danial, 20, untuk menguruskan dirinya sejak terlantar di atas katil.

Begitupun Pak Lan yang turut berlakon dalam lapan drama sejak tahun 2000 hingga 2018 mengidap penyakit kencing manis dan darah rendah sejak lebih 20 tahun lalu.

Di samping itu dia yang turut berlakon dalam filem Gerak Khas The Movie II turut mengalami penyakit glaukoma yang merosakkan saraf mata kesan daripada kencing manis membuatkan dia tidak lagi aktif berlakon sejak 2018.

Zulkiflee Mohd. Zin menyampaikan bantuan kepada Pak Lan di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka.

“Saya sihat cuma kesihatan agak merosot. Nak bergerak macam dulu tak boleh lagi. Mata pun dah semakin tidak nampak doktor terpaksa matikan urat saraf bagi mengelak rasa sakit dan pening kepala yang kerap Pak Lan alami akibat kencing manis.

“Bila terbaring macam ini tiba-tiba rasa rindu untuk berlakon semula tetapi apa kan daya Pak Lan tiada upaya lagi tak macam dulu.

“Walaupun tak sihat, alhamdulillah ramai jugak kawan-kawan artis datang melawat, bertanya khabar begitu juga dengan penduduk setempat juga turut prihatin,” ujarnya sambil menitiskan air mata ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka hari ini.

Sebaliknya, dia bersyukur kerana ramai kenalan dalam industri mahupun penduduk kampung berkenaan sentiasa bertanya khabar mengenai kesihatannya yang semakin merosot sejak Mei lalu.

Bagi isteri pelakon veteran itu, Zainun Majid, 53, berkata, suaminya mengidap penyakit kencing manis dan darah rendah sejak lebih 20 tahun lalu membuatkan dia tidak lagi aktif berlakon filem atau drama.

“Walaupun ada menerima tawaran berlakon, namun suami saya menolaknya kerana tidak mahu menyusahkan kru produksi kerana perlu kerap ke tandas dan sukar untuk bergerak selain penglihatan semakin kabur,”ujarnya.

Penderitaan hidup Pak Lan turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd. Zin yang berjanji untuk melihat segala keperluan pelakon veteran itu.

“Kita akan lihat apakah bentuk bantuan lain yang layak dan boleh disalurkan dan insya-Allah saya akan bawakan isu ini kepada pihak kesihatan negeri untuk membantu dari segi keperluan pembedahan dan sebagainya,” katanya.

Selain Sembilu II dan Gerak Khas The Movie II, Pak Lan turut membintangi beberapa filem antaranya ialah Jalang (2009), Damping Malam (2010), Bini-Biniku Gangster, Senjakala (2011), Kahwin 5 (2012), Lelaki Harapan Dunia (2013), KL Special Force, Munafik 2 (2018), Anak Perjanjian Syaitan (2019) dan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda (2020).

Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Roslan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Bank Islam 12225020113588 (Zainun Majid). – SM

(Visited 1,362 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button