Nasional

Persoalan Azalina pelantikan Azam Baki tidak relevan

PENASIHAT Khas Kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam hantaran di Facebook bertanya samada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan telah membuat semakan latar belakang Tan Sri Azam Baki sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM).

RASUAH
Azam Baki

Untuk pengetahuan umum, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah dibuat di bawah peruntukan Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Di bawah seksyen ini, Ketua Pengarah (KP) SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Perdana Menteri pula sepertimana dalam pelantikan mana-mana pegawai tinggi kerajaan yang lain, biasanya menerima syor daripada Ketua Setiausaha Negara atau mana-mana pihak yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Syor ini diangkat kepada Perdana Menteri dalam bentuk kertas cadangan pelantikan pegawai yang mana di dalamnya terdapat laporan mengenai kelayakan pegawai dan justifikasi pelantikan.

Terdapat proses tertentu dalam perkhidmatan awam yang menentukan kelayakan seseorang pegawai untuk dilantik ke mana-mana jawatan. Ini termasuk proses tapisan keselamatan dan keutuhan yang dibuat oleh pelbagai agensi dari masa ke semasa.

Bagi pegawai yang sedang berkhidmat pula, mereka tertakluk kepada pelbagai peraturan dan syarat termasuk pengisytiharan harta.

Ada borang tertentu yang perlu diisi dan kaedah tertentu yang perlu dipatuhi oleh seorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mengisytiharkan harta masing-masing.

Terdahulu, Azam Baki adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya.

Beliau percaya sebagai pegawai tinggi kerajaan yang sedang dalam perkhidmatan, Azam Baki tertakluk kepada semua syarat dan proses ini sebelum dan selepas pelantikan dibuat.

Jadi tidak timbul samada Perdana Menteri kelapan membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan dibuat. Proses pelantikan dibuat secara teratur mengikut peraturan dan kaedah yang ditetapkan.

Sebarang isu yang timbul selepas itu hendaklah ditangani menurut peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa. – CATATAN MARZUKI MOHAMED (BEKAS SETIAUSAHA SULIT PM KE-8) – SM

(Visited 249 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button