
Pelajar wanita maut di Cyberjaya dengan kecederaan di kepala, tiada kesan perkosa
SEORANG pelajar wanita sebuah universiti ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di kediamannya di Cyberjaya.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul10.28 pagi Selasa.
Beliau memberitahu, mangsa berusia 20 tahun dan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk di unit kediaman mangsa.
“Namun, terdapat kecederaan di bahagian kepala mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.
“Hasil siasatan awal menunjukkan punca kematian adalah akibat hentakan kuat di kepala (blunt force trauma to the head) dan tiada kecederaan yang menunjukkan unsur rogol.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.