BeritaPendidikanSukan

Pelajar UniMAP raih emas ketepikan atlet Kebangsaan 200 meter

Kejohanan Olahraga Institut Pengajian Tinggi (IPT) Sirkit 1 2022

PELAJAR Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul sebagai pemenang pingat emas bagi acara 200 meter pada Kejohanan Olahraga Institut Pengajian Tinggi (IPT) Sirkit 1 2022, baru-baru ini.

Sekali gus Mohamad Raimi Mustaffa Kamal mencipta kejutan apabila berjaya menumpaskan atlet-atlet elit kebangsaan yang menjadi saingannya dalam acara balapan ini.

Kejohanan Olahraga IPT 2022 Sirkit selama empat hari bermula 21 Mac lalu menyaksikan seramai 244 atlet yang mewakili 26 IPT menyertai 25 acara yang dipertandingkan.

Mohamad Raimi yang melakukan catatan masa 22.2 saat ini berkata, walaupun bersaing dengan atlet kebangsaan namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk melakukan yang terbaik berbekalkan semangat jurulatih dan keluarga.

“Sebelum ini saya dan rakan-rakan atlet berdepan cabaran seperti tidak dapat menggunakan trek untuk menjalani latihan berikutan pandemik Covid-19.

“Saya juga diuji dengan positif Covid-19 menyebabkan saya terpaksa kuarantin selama 14 hari dan hanya mampu menjalani latihan ringan di rumah,” katanya.

Katanya lagi, “saya juga hanya sempat membuat persiapan dalam lima hari sahaja berikutan kecederaan ‘hamstring’.

“Tetapi saya percaya dapat melakukannya dengan baik sekali gus mampu menyumbang pingat emas kepada universiti.”

Mohamad Raimi berkata, beliau meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke Sukan Universiti Dunia di China pada Jun ini serta Sukan Asia.

Beliau akan memberi tumpuan terhadap program latihan yang diberikan jurulatihnya, Muhammad Idris Zakaria yang juga kakitangan UniMAP.

Selain Mohamad Raimi, dua emas UniMAP disumbangkan oleh Teoh Kim Chyi menerusi acara 800 meter wanita dan acara 400 meter wanita.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof Ts. Dr Zaliman Sauli berkata, pasukan UniMAP berjaya membawa pulang tiga emas, dua perak dan satu gangsa.

Itu sekali gus meletakkan UniMAP di kedudukan ketiga keseluruhan kejohanan berkenaan yang diadakan di Kompleks Sukan Negeri Johor.

Ujar beliau, prestasi pasukan olahraga UniMAP amat membanggakan dan berharap momentum berkenaan dikekalkan dan seterusnya mendominasi kejohanan berkenaan di masa akan datang.

“Saya percaya walaupun bukan dalam kalangan atlet kebangsaan, namun hasil latihan yang baik daripada jurulatih berpengalaman UniMAP dapat mencipta lebih banyak kejutan selepas ini,” katanya. – SM

(Visited 843 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button