fbpx
Nasional

Pelajar politeknik dikhuatiri lemas baru pertama kali mandi di pantai

PELAJARr Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Bidara, di sini dikatakan sebelum ini tidak pernah mandi jika datang ke pantai.

Bapanya Zuki Ab Razak, 53, berkata beliau tidak menyangka anaknya mandi di pantai bersama lima rakannya petang semalam kerana anak kedua dari lima beradik itu juga tidak tahu berenang.

“Sejak kecil Zul Fahmi tidak pernah mandi laut sekiranya dibawa ke pantai dan dia juga tidak tahu berenang,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian awal pagi ini.

Beliau juga berkata Muhammad Zul Fahmi juga sudah tiga minggu tidak pulang ke rumah mereka di Kemaman kerana sibuk berlatih bagi pemilihan satu kejohanan olahraga di PSMZA yang akan diadakan pada hari ini.

Zuki berkata, anaknya yang aktif bersukan itu bersungguh-sungguh ingin menyertai pemilihan kejohanan olahraga pada kali ini.


Dalam pada itu Zuki berkata beliau hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dihubungi ibu kepada seorang daripada rakan anaknya yang juga dikhuatiri lemas pada pukul 7 malam tadi.

Beliau berkata, walaupun sukar untuk menerima kenyataan anaknya dikhuatiri lemas namun beliau redha dan berharap jasad anaknya dan tiga lagi rakan ditemui secepat mungkin.

Sementara itu, menurut seorang daripada saksi yang juga rakan mangsa Mohamed Irfan Kamarulzaman, 21, sebelum kejadian beliau dan seorang lagi rakan Mohammad Hazman Mohd Zamili, 21, cuba membantu menyelamatkan empat rakan mereka namun gagal ekoran keadaan ombak besar.

“Kami cuba bantu mereka dengan melemparkan pelampung yang dipinjam daripada orang awam yang turut berada di lokasi namun gagal. Saya tidak berani pergi ke tempat mereka kerana tidak tahu berenang. Hanya Amir (Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee) sahaja yang dilihat tenggelam timbul sebelum beliau turut tenggelam seperti rakan yang lain,” katanya.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, Muhammad Zul Fahmi; Mohamad Amir Izzudin; Muhamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin; dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, yang kesemuanya berumur 21 tahun dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir, sebelum dipercayai ditarik ombak.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Salahuddin Isa berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa diperluaskan kepada tiga kilometer dari tempat mangsa dikatakan lemas.

“Untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa ini pihak bomba akan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan rondaan menggunakan bot pada jarak dua batu nautika dari pantai,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button