Pelajar perlu kreatif selesai masalah – Raja Muda Perlis
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Golongan pelajar hendaklah mampu untuk berfikir secara kreatif dan inovatif dan memberi fokus kepada penciptaan yang dapat merangsang minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, serta dapat mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah’.
Baginda menambah, ‘Para pelajar perlu memberikan tumpuan sepenuhnya sewaktu sesi pembelajaran dan praktikal, menguasai serta memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari berdasarkan aliran masing-masing kerana setiap pelajar mempunyai potensi yang besar menjadi tenaga mahir negara dalam pelbagai bidang yang mampu menjanjikan pendapatan dan taraf kehidupan yang lebih baik untuk masa hadapan’.
“Saya berharap agar para pelajar akan mengekalkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek, jangan cepat berasa berpuas hati dengan pencapaian pada hari ini. Sebagai seorang pelajar harus sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan potensi diri masing-masing”, titah Tuanku Raja Muda lagi.
Demikitan titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat Kolej Vokasional Arau (KVA) yang melibatkan seramai 366 orang pelajar.
Keberangkatan tiba Baginda yang turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke Dewan Syed Sirajuddin Areeb Putra kolej berkenaan disambut oleh Pengarahnya, Rohaizad Redzuan.
Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Penyelaras dari YTSP Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Pada tahun 2022, seramai 199 bilangan graduan kolej ini telah mencapai 100% kebolehpasaran dan 79.83% kebolehpasaran dalam bidang masing-masing. 95 bekas graduan telah mendapat pekerjaan, 13 orang menyambung pengajian dan 11 orang lagi telah menceburi bidang keusahawanan.
Bagi tahun 2021 pula seramai 86 orang graduan kolej turut mencapai 100% kebolehpasaran dan 73.33% kebolehpasaran dalam bidang yang diceburi di mana 60 orang graduan bekerja dalam bidang masing-masing, 12 orang melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya manakala 14 orang pula telah memilih bidang perniagaan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian ‘Gallery Walk’ kolej tersebut yang merupakan ruang mempamerkan semua pencapaian dan anugerah yang telah dicapai oleh Kolej Vokasional Arau khususnya untuk tatapan para pengunjung.