NasionalNegeriPendidikan

Pelajar Pattani, Thailand penerima Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) KUIPs

GRADUAN Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) berasal dari Pattani, Thailand muncul sebagai penerima Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Istiadat Konvokesyen Ke-5 KUIPs di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Pauh Putra, Arau, Perlis hari ini.

Najwa Norji yang telah bekerja di Bangkok ini merupakan seorang pelajar bertuah apabila menerima biasiswa penuh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sepanjang tempoh pengajian di KUIPs.

Majlis tersebut pada kali ini melibatkan 133 graduan yang menerima Ijazah Sarjana Muda dan 149 lagi Diploma daripada Canselor KUIPs, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Rektor, Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle serta Ahli-Ahli Lembaga KUIPs Sdn Bhd dan juga Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Universiti.


Tuanku Syed Faizuddin bertitah, bagi menghadapi persekitaran yang semakin kompleks maka mahasiswa pada abad ke-21 mesti memperkukuh diri dengan lima perkara yang turut sepadan dengan beberapa ciri digariskan sebagai Kemahiran Unggul oleh Forum Ekonomi Dunia.

“Ia adalah Mahir menyelesaikan masalah yang kompleks; Mahir sebagai pemimpin dan ahli pasukan yang berkesan; Mahir berkomunikasi secara lisan dan bertulis; Memiliki kepintaran emosi; dan Memiliki nilai integriti dan moral terpuji,” titah Baginda.

Dalam titah Baginda juga berharap agar mahasiswa KUIPs lebih sedar dan merebut peluang yang luas selama dua hingga empat tahun di KUIPs yang memegang moto “Syumul, Taqwa & Dinamik” ini untuk mempersiapkan diri dalam mentransformasikan minda graduan supaya berubah daripada ‘job-seeker’ kepada ‘job-creator’.

Raja Muda bertitah, transformasi ini selari dengan lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025 yang meletakkan agar mahasiswa dilahirkan itu bersifat holistik, menyeluruh dan berciri keusahawanan dan relevan dengan cabaran globalisasi.

KUIPs bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs. – SM

(Visited 212 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button