Politik

Kemelut MB Perak diyakini 99.9 peratus selesai hari ini

KEKUSUTAN politik yang melanda Perak dalam memilih Menteri Besar baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dijangka selesai hari ini.

Ini kerana, parti kerajaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan UMNO dilapor sedang mengadakan rundingan ke arah itu.

Walaupun terdapat dakwaan wujud krisis antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN), namun isu pembentukan kerajaan negeri perlu diselesaikan.

“Pada saat dan ketika ini, Presiden UMNO, Pas dan Bersatu sedang berbincang. Saya yakin untuk menyelesaikan krisis di Perak. Hari ini selesai. 99.9 peratus selesa.”

Demikian kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditemui pemberita di Parlimen seperti dilaporkan portal Utusan Online hari ini.

Sebelum ini, krisis Kerajaan Negeri Perak timbul apabila parti kerajaan seperti Bersatu dan Pas didakwa dingin dengan UMNO.

Hal demikian ekoran usul undi tidak percaya dilakukan terhadap Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal yang kemudiannya kehilangan sokongan majoriti.

Bagaimanapun, selepas kerajaan negeri terbubar, tiada pembentukan kerajaan baharu dapat dibentuk dalam masa terdekat susulan tiada parti yang mempunyai majoriti mudah.

Di Perak, untuk membentuk kerajaan negeri, parti itu perlu mendapat sokongan 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 59 keseluruhan kerusi DUN.

Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahamd Zahid Hamidi, dilaporkan sebelum ini tidak tolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan rakyat tidak terheret dalam polemik itu.

Keadaan itu ditambah lagi dengan sikap Pas yang pada awalnya enggan terlibat dalam pembentukan kerajaan negeri.

Malah, baru-baru ini juga mereka dilapor membatalkan jadual menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Walau bagaimanapun, Suara Merdeka tengah hari tadi melaporkan terdapat pertemuan antara Setiausaha Agung Pas, Barisan Nasional (BN) dan Bersatu.

Selain itu, Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang juga dilapor bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu. – SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button