Jenayah

Polis Melaka rampas dadah, sita harta bernilai RM7.1 juta

Polis Melaka berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah apabila merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6.8 juta dan disifatkan sebagai tangkapan terbesar tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kejayaan itu adalah hasil tangkapan ke atas tiga lelaki berusia antara 27 hingga 51 tahun pada 18 November lalu.

Menurutnya, bertindak daripada maklumat awal sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Peronda Lebuh Raya (EMPV) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman berjaya memintas sebuah kenderaan jenis Volkswagen Passat sewaktu berada di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah selatan.

Beliau berkata, dalam kejadian pukul 2.45 petang itu polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut polis menemukan dadah jenis syabu seberat 10,392.20 gram yang dianggarkan bernilai RM342,943 yang ditemukan di bahagian tempat duduk belakang dan bonet.

“Hasil soal siasat ke atas suspek tersebut, kira-kira pukul 8.30 malam polis berjaya menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 46 dan 51 tahun di sebuah kediaman di Jinjang, Kuala Lumpur.

“Kita berjaya merampas pil ekstasi seberat 67,000 gram, syabu seberat 62,000 gram dan pil erimin 5 sebanyak 103,700 biji yang dianggarkan keseluruhan bernilai
RM6.6 juta,” ujarnya dalam sidang akhbar di IPK Melaka di sini hari ini.

Zainol berkata, hasil saringan air kencing yang dijalankan ke atas tiga-tiga suspek itu mendapati dua daripada mereka iaitu berusia 46 dan 51 tahun positif dadah jenis methamphethamine dan memiliki rekod jenayah lampau.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket ini dipercayai bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak awal tahun 2022.

Katanya, kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara yang boleh digunakan seramai 508,994 orang penagih.

“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Volkswagen, wang tunai, barang kemas dan jam tangan mewah dengan keseluruhan nilainya berjumlah RM177,000 dan nilai
rampasan dadah serta harta yang disita dianggarkan bernilai RM7.1 juta,” ujarnya.

Zainol berkata, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula pada 19 sehingga 25 November ini.

Ujarnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Jelasnya, jika tidak dihukum dengan hukuman mati hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan. – SM

habis…/

(Visited 65 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button