Nasional
Pelajar M40 kurang berkemampuan layak manfaat Program Siswa Sulung – Zambry
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, program Siswa Sulung tidak terhad kepada pelajar daripada keluarga B40 sahaja.
Sebaliknya kata beliau, golongan M40 yang kurang berkemampuan juga boleh menerima manfaat program itu.
Menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) Zambry berkata program yang dikhususkan untuk anak pertama daripada keluarga kurang berkemampuan dan berjaya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama di Universiti Awam (UA) telah memanfaatkan seramai 1,934 pelajar setakat ini.
“Golongan M40 yang mempunyai keluarga besar, contohnya dengan tujuh hingga lapan anak, dan memerlukan perbelanjaan tinggi untuk pendidikan, juga layak memohon program ini.”
“Bagi anak sulung daripada keluarga yang tidak berkemampuan, kita menyediakan pengecualian yuran pengajian dan penginapan sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Kesavan dalam soalan tambahan bertanya sama ada kementerian bercadang memperluaskan pengecualian yuran pengajian kepada pelajar keluarga M40 yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Zambry berkata, kementerian memperkenalkan pelbagai inisiatif lain bagi menyokong pelajar universiti daripada keluarga kurang berkemampuan, termasuk bantuan sebanyak RM1,000 untuk menampung perbelanjaan
sebelum mereka memperoleh pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Selain itu katanya, lebih 300 mahasiswa yang menghadapi masalah kewangan di universiti menerima bantuan berkenaan bagi sesi akademik 2024/2025.