Pendidikan

Pelajar IPT dibenar pulang ke rumah sambut raya kecuali Sarawak

SEMUA pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aildilfitri kecuali negeri Sarawak.

Perkara tersebut telah diputus dan dipersetujui dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan semalam.

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan berkata, pelajar turut diberi pilihan sama ada mahu pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut.

“Kebenaran ini adalah selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh MKN sebelum ini kepada sektor
pendidikan.

“KPT telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan di mana pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar adalah terkawal,” katanya.

Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing ialah pada 7 Mei hingga 12 Mei 2021. Manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus pula pada 15 hingga 20 Mei 2021.

Pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri, daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

Menurutnya, pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga dan menggunakan bas yang diselaraskan oleh pihak IPT.

Pelajar tidak dibenarkan sama sekali menggunakan pengangkutan awam kecuali perkhidmatan penerbangan.

Dianggarkan pergerakan pelajar sempena cuti perayaan Aidilfitri hanya melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar.

Pelajar-pelajar terbabit terdiri daripada enam kategori pelajar yang dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini.

Para pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan Dokumen Soalan Lazim yang telah disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my.

Para pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628.

“Semua pihak mestilah mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa sehingga arahan terkini berhubung perkara ini dimaklumkan,” katanya.-SM

(Visited 458 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button