NegeriRencah Hidup

Raja Muda lancar promosi “Kurma Daging Perlis” yang bakal diminati rakyat selatan Thai

KALAU Thailand popular dengan tomyam, tidak mustahil jika “Kurma Daging Perlis” bakal terkenal dan meniti di bibir rakyat di selatan Thai suatu hari nanti.

Inilah usaha berterusan yang dilakukan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi “Perlis Food Promotion” yang memperkenalkan Kurma Daging Perlis sebagai identiti makanan negeri di Utara Malaysia ini.

Setakat ini sudah masuk kali ke empat, Raja Muda melancarkan makanan Perlis ini di Wilayah Songkhla, Thailand.

Terbaharu Baginda dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan melancarkan keenakan “Kurma Daging Perlis” di Khlong Hae Halal Buffet Seafood Restaurant di 85 11 Lopburi Ramesuan Road, Hatyai, Songkhla, Thailand.

Keberangkatan tiba Baginda berdua dalam inisiatif yang dijayakan bersama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bagi terus memperkenalkan lagi negeri ini khususnya di negara jiran kita itu telab disambut oleh pemiliknya, Chutima Hemmun.

Hadir mengiringi Baginda berdua, Datuk Bandar Khlong Hae, Sunti Hemmun, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Rizuan Abd Yazid serta bekas Timbalan Ketua Polis DiRaja Thailand bagi Region 9, Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan dan isteri Datin Nurane Pitisathepan.

Shamiza Mohd Nor yang merupakan pengusaha Shamiza Restoran di Kampung Gial, Perlis dibawa bagi membimbing tukang masak di restoran berkenaan menyediakan menu istimewa ” “Kurma Daging Perlis’ yang akan disajikan dalam menu tetap restoran berkenaan selepas ini.

Restoran-restoran lain di Wilayah Songkhla yang pernah terlibat sama dalam program promosi masakan yang dirasmikan Baginda berdua sebelum ini adalah
Sami Kitchen, Restoran Halal Kai Tod Decha dan yang terkini Ogos lalu di Restoran Hamid.

Program tersebut pada kali ini diadakan sempena aktiviti berbasikal ‘Kayuhan Cakna Merdeka’ sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 pada 31 Ogos lalu.

Selepas majlis tersebut Raja Muda mempelawa masyarakat Thailand khususnya dari Wilayah Songkhla dan juga Satun bersebelahan untuk melawat Perlis.

Antara tarikan lokasi baru menarik di negeri ini sekarang ialah Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni di Seberang Ramai Kuala Perlis, Wang Kelian View Point, beberapa lokasi pelancongan di sekitar Sungai Batu Pahat/Bukit Ayer, Kaki Bukit/Gua Kelam, Tasoh/Bukit Chabang, Kampung Balik Bukit serta kedai makan yang menyediakan menu yang enak dan menyelerakan.

Dalam titah Tuanku Syed Faizuddin menasihatkan pengusaha pelancongan dan makanan di negeri ini sama ada bersaiz besar atau kecil, dimiliki kerajaan atau persendirian supaya sentiasa memastikan tahap kebersihan ditahap terbaik terutamanya bahagian dapur dan tandas.

Selain itu, titah Baginda, layanlah pelanggan dengan sopan dan berhemah, letak harga patut supaya para tidak serik untuk berkunjung semula.- SM

(Visited 441 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button