Nasional
Trending

Gangguan bekalan air sekali lagi di Lembah Klang juga akibat pencemaran

BELUM pun selesai kes pencemaran air di Sungai Gong yang menyebabkan jutaan penduduk di Lembah Klang berhadapan masalah air, perkara sama berulang kali ini melibatkan Sungai Semenyih pula.

Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian terbaharu membabitkan 309, 605 isi rumah di 273 kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.

Daripada kenyataan itu dimaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji-loji  tersebut.

Air Selangor telah melaporkan kejadian itu kepada Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan sedang mengesan secara aktif punca pencemaran di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai berhampiran.

Pelan tindakan kecemasan (ERP) juga telah diaktifkan bagi membantu pengguna yang terjejas susulan kejadian ini, kata Air Selangor pada suatu kenyataan hari ini.

Air Selangor pada masa ini masih belum dapat memberikan tempoh waktu bila bekalan air akan dipulihkan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memberitahu, pencemaran itu dikesan dari suatu sungai di Negeri Sembilan.

“Punca pencemaran adalah sejauh 30km dari LRA Sungai Semenyih. Punca pencemaran dikesan di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan.

“Saya telah berhubung dengan Menteri Besar Negeri Sembilan (Aminuddin Harun) untuk bersama menyelesaikan isu ini,” katanya pada hantaran di media sosial.

Daripada lebih 300,000 akaun yang terjejas itu ia membabitkan lebih satu juta pengguna jika satu akaun itu membabitkan lima pengguna.

Pada 3 September lalu pencemaran sungai daripada sebuah kilang penyelenggaraan jentera yang disyaki membuang bahan pencemar ke Sungai Gong, menyebabkan jutaan pengguna terputus bekalan air. – SM

(Visited 554 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button