Politik

Kerajaan perlu kukuh, stabil, efektif tangani Covid-19 dan pulihkan ekonomi

UMNO mendokong dan memandang serius saranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah akan keperluan mewujudkan sebuah Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO turut menjunjung kasih dan menyokong penuh titah  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terhadap segala keresahan dan kegelisahan rakyat berkaitan dengan pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini.

“Saya amat menghargai kecaknaan Seri Paduka Baginda yang mengambil kira segala isu dan pendirian parti yang dipersembahkan ketika sesi mengadap pada 11 Jun lalu,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataannya hari ini.

Dalam sesi mengadap tersebut, Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa Parlimen harus dibenarkan berperanan sebagai platform rasmi menyuarakan pelbagai suara hati rakyat yang sedang dalam kesempitan.

Sambung Ahmad Zahid, antara suara rakyat yang diusulkan seperti tuntutan moratorium automatik secara pukal, kawalan harga barang, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai bantuan khas kepada rakyat sekaligus memulihkan semula ekonomi negara.

“UMNO juga turut mempersembahkan pendirian berkenaan dengan keperluan untuk Darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021.

“Ini kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara sedangkan tanpa Darurat Kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan pandemik Covid-19,” ujar Ahmad Zahid dalam kenyataan yang sama.

Semalam, diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara bagi membincangkan pelbagai isu terutamanya Covid-19 dan Parlimen bersidang.

Dalam mesyuarat pada pukul 2.30 petang sehingga 6 petang itu, kesemua Sultan dan Raja-raja hadir kecuali Sultan Kelantan manakala Perlis, diwakili oleh  Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. – SM

(Visited 96 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button