Luar Negara

Pelajar di Sumatera juga panjat pokok untuk dapat signal, jawab soalan periksa

KETIKA kita di Malaysia kecoh tentang Vivionah Mosibin yang terpaksa panjat pokok untuk mendapatkan isyarat telekomunikasi untuk akses kepada internet bagi menjawab soalan peperiksaan universiti, hal yang sama juga berlaku di Sumatera, Indonesia.

Ketika sekolah ditutup di Indonesia ekoran pandemik Covid-19, pembelajaran sama ada untuk peringkat sekolah mahupun universiti dilakukan secara dalam talian.

Tetapi bagi golongan miskin di luar bandar yang kekurangan capain internet dan telefon pintar, pendidikan dalam talian sangat sukar.

Untuk itu pada hari-hari persekolahan tiga pelajar Teara Noviyani, 19; Siti Salma, 13; dan Fitri Zahrotul, 15, akan menunggang motosikal untuk pergi ke ‘ruang’ pembelajaran mereka yang bertempat di sepanjang jalan sempit di pinggir  kampung Kenalan, Indonesia di mana mereka dapat memperoleh isyarat telefon bimbit yang stabil.

Dengan hanya duduk di bahu jalan, mereka melakukan pembelajaran di telefon pintar dan komputer riba yang dikongsi tanpa menghiraukan kenderaan lalu-lalang yang menggunakan jalan itu.

Ketiga-tiga pelajar itu – dua saudara perempuan dan ibu saudara mereka yang berusia 15 tahun – telah belajar dengan cara ini di pulau Jawa sejak bulan Mac, ketika Indonesia menutup sekolah dan universitinya bagi membendung koronavirus.

“Ketika sekolah memerintahkan kami belajar di rumah, saya keliru kerana kami tidak mempunyai isyarat telefon di rumah,” kata salah seorang gadis, Siti Salma Putri Salsabila, 13.

Kesukaran pelajar-pelajar ini, dan yang lain seperti mereka,  mewakili kesulitan yang dihadapi oleh berjuta-juta pelajar sekolah di seluruh kepulauan Indonesia. Pegawai telah menutup sekolah dan melaksanakan pembelajaran jarak jauh, tetapi perkhidmatan internet dan telefon bimbit yang terhad di samping ramai pelajar tidak memiliki telefon pintar dan komputer.

sumatera
PERKAMPUNGAN Kenalan yang terletak kira-kira 25 kilometer di barat laut Yogyakarta. – NYT

Di Sumatera Utara, para pelajar naik ke puncak pohon tinggi yang berjarak lebih satu kilometer dari kampung mereka di pergunungan. Dengan bertenggek di dahan tinggi, mereka berharap isyarat telefon cukup kuat untuk menyelesaikan tugas mereka.

Di seluruh dunia, termasuk di beberapa negara terkaya di dunia, pendidik bergelut dengan cara terbaik menjadikan pembelajaran jarak jauh dapat dilaksanakan ketika wabak ini. Tetapi di negara-negara miskin seperti Indonesia, cabarannya sangat sukar.

Lebih dari satu pertiga pelajar Indonesia mempunyai akses internet yang terbatas atau langsung tiada, demikian menurut Kementerian Pendidikan, dan para pakar khuatir banyak pelajar akan ketinggalan, terutama di kawasan terpencil di mana pembelajaran dalam talian masih baru.

Usaha Indonesia untuk membendung  penularan virus  membawa hasil yang pelbagai. Pada hari Sabtu, negara ini mempunyai 190,665 kes dan 7,940 kematian. Tetapi ujian yang dilakukan terhad dan pakar kesihatan bebas mengatakan jumlah kes sebenarnya jauh lebih tinggi.

Dengan bermulanya tahun akademik baru pada bulan Julai lalu, sekolah-sekolah di zon bebas virus dibenarkan untuk dibuka semula, tetapi sekolah-sekolah ini hanya mewakili sebilangan kecil pelajar di seluruh negara itu. Pada bulan Ogos, komuniti di daerah berisiko rendah memutuskan untuk membuka kembali sekolah, tetapi hanya sedikit yang melakukannya.

Sebilangan guru yang dedikasi di kawasan terpencil menempuh jarak jauh dan memberikan pelajaran secara bersemuka kepada sekumpulan kecil pelajar di rumah mereka. Dan sejak April, rangkaian televisyen dan radio awam Indonesia telah menyiarkan program pendidikan beberapa jam sehari.

Tetapi kebanyakan pelajar belajar secara dalam talian menggunakan telefon bimbit, sering membeli pakej yang menyediakan jumlah  data yang kecil. Beberapa keluarga hanya mempunyai satu telefon yang dikongsi di antara beberapa anak, yang kebiasaannya perlu menunggu ibu bapa mereka pulang barulah dapat melakukan kerja-kerja sekolah mereka.

Mengajar secara dalam talian juga adalah perkara baharu bagi kebanyakan guru, terutamanya di kawasan luar bandar. Pelajar juga sering keliru dengan pelajaran, dan ibu bapa – yang mungkin hanya mempunyai pendidikan sekolah rendah – ada yang mengajar sendiri di rumah.

“Pelajar tidak tahu apa yang harus dilakukan dan ibu bapa menganggap ini hanya percutian,” kata Itje Chodidjah, seorang pendidik dan pelatih guru di Jakarta, ibu kota Indonesia.

“Kami masih memiliki banyak kawasan yang tiada capaian internet. Di beberapa kawasan, terdapat kesukaran untuk mendapatkan elektrik. ”

Kesukaran yang dihadapi oleh pelajar luar bandar hari ini akan terus menyumbang kepada ketidaksamaan di Indonesia, negara keempat terbesar di dunia, kata Luhur Bima, penyelidik kanan Institut Penyelidikan Smeru, sebuah pusat dasar awam yang berpusat di Jakarta.

“Tanpa wabak sekali pun sudah ada jurang besar antara desa dan bandar,” katanya. “Pelajar belajar sangat sedikit pada waktu biasa. Ketika wabak itu datang, mereka menghentikan aktiviti pengajaran.”

sumatera
SEORANG guru Vincentia Orisa Ratih Prastiwir merekodkan video bagi tujuan pembelajaran dalam talian untuk para pelajarnya. – NYT

Menteri pendidikan, Nadiem Makarim, yang mengasaskan syarikat teknologi Go-Jek sebelum memasuki politik, bergelut dalam menyeimbangkan antara kesihatan pelajar dan pendidikan mereka. Menutup sekolah akan menyebabkan mereka ketinggalan dan pada masa sama menyebabkan depresi dan kemurungan.

“Persoalannya ialah bagaimana untuk  menguruskan antara risiko kesihatan dan pemansuhan pembelajaran secara kekal untuk daerah-daerah di Indonesia yang tidak dapat, atau sangat sukar untuk melakukan pembelajaran jarak jauh,” katanya.

Hari ini, kira-kira 13 juta orang di 12,500 kampung terpencil tidak mempunyai capaian  internet, kata Setyanto Hantoro, presiden dan pengarah Telkomsel, syarikat telekomunikasi terbesar di negara ini, yang bekerjasama dengan pemerintah untuk memberikan perkhidmatan di daerah-daerah terpencil.

Antara kawasan di mana Telkomsel berusaha untuk mendapatkan capaian adalah Kenalan, di mana ketiga-tiga gadis itu belajar di jalan raya, dan kampung Bah Pasungsang, di mana sebanyak 20 pelajar memanjat pokok setiap hari untuk belajar.

Tetapi usaha itu tidak akan selesai sehingga tahun 2022, kata Setyanto.

Kenalan merupakan kawasan pergunungan yang terletak kira-kira 25 kilometer di barat laut Yogyakarta

Sebilangan besar penduduk kampung adalah petani, menanam jagung dan ubi kayu, dari mana mereka menghasilkan slondok, makanan ringan yang popular. – New York Times

 

(Visited 421 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button