Berita

Pelajar cemerlang sentiasa mengamalkan sikap yang positif sepanjang kehidupan mereka

https://youtu.be/nUbYz12JYko

Pelajar merupakan modal insan yang amat berharga kepada diri, ibu bapa, keluarga, agama, bangsa dan negara. Untuk mencapai kejayaan dalam hidup, para pelajar perlu disematkan dengan sikap-sikap positif dalam pelbagai aspek.

Pelajar perlu memiliki dan mengamalkan adab yang baik. Pelajar perlu sentiasa menghormati ibu bapa, ahli keluarga, guru, rakan dan orang di sekeliling mereka. Di sekolah, mereka dididik dengan budaya memberi ucapan salam dan terima kasih kepada rakan dan guru. Kesannya, pelajar yang baik adabnya akan dihormati dan disenangi, menjadi idola atau contoh kepada yang lain, membanggakan ahli keluarga, mempunyai peluang yang cerah untuk dilantik menjadi ketua dalam aktiviti akademik dan kokurikulum di sekolah.

Pelajar juga hendaklah memiliki disiplin yang tinggi dengan mematuhi peraturan sekolah dan agama. Kesannya, pelajar akan disayangi para guru, cemerlang dalam peperiksaan dan memiliki peluang melanjutkan pelajaran ke menara gading serta mudah mendapat pekerjaan apabila tamat nanti.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Lailatul Shahreen, Padang Behor, Kangar, Tahun 2020’ berslogankan “Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan” anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perlis serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dihadiri oleh seramai 305 orang pelajarnya petang tadi.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hjh Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua di Dewan Syed Sirajuddin Areeb Putra sekolah berkenaan disambut oleh Pengetua, Haliah Othman serta Ketua Penyelaras Bersama Program iaitu Kapten Muhammad Azuan Mohamad Nasir dan Hakim Khan.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (Pembangunan Murid), Ishak Din dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Tambah baginda yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTSP Perlis, turut menambah bahawa di sekolah juga, para pelajar dilatih menepati jadual waktu sama ada bagi aktiviti akademik mahupun kokurikulum.

Sekolah ini telah mengecapi pelbagai kejayaan cemerlang sepanjang tahun 2019 yang lalu termasuklah memenangi satu pingat emas dan satu gangsa di Pertandingan Lompat Tali yang diadakan di Korea.

Di peringkat kebangsaan pula ia mendapat 1 emas, 7 perak dan 4 gangsa di Pertandingan Lompat Tali
Prestasi Tinggi, 1 emas, 1 perak dan 4 gangsa di Silat Olahraga Siri 1 dan 1 perak dalam Karnival Bakat (Tinju) selain 1 gangsa di Kejohanan Tenis MSSM dan 1 perak di Kejohanan Tae Kwon Do Master Junior Tertutup Kedah.

(Visited 4,967 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button