Ekonomi

Pelaburan RM6.4 Bilion Direalisasi di ECER, Komitmen Melepasi Sasaran Tahunan

Putrajaya, 30 Jun 2025 – Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang diadakan hari ini telah meneliti kemajuan pelaksanaan inisiatif strategik di bawah koridor ekonomi berkenaan serta membincangkan hala tuju pembangunan ECER menjelang Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Mesyuarat telah dimaklumkan bahawa bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2025, ECERDC telah berjaya merealisasikan pelaburan sebanyak RM6.4 bilion, yang seterusnya menyumbang kepada pewujudan lebih 2,800 peluang pekerjaan baharu di wilayah ini.

Lebih membanggakan, nilai pelaburan komited telah mencecah RM10.4 bilion, sekali gus melepasi sasaran tahunan RM10 bilion bagi tahun 2025, lebih awal daripada dijangka.

Sebanyak lapan (8) projek strategik dan berimpak tinggi dijadualkan akan siap menjelang akhir tahun ini di bawah Pelan Pembangunan ECER, yang dijangka akan merangsang aktiviti ekonomi setempat dan memperkukuh daya saing wilayah ini.

Kerajaan turut menekankan kepentingan perancangan jangka panjang dalam menarik pelaburan berkualiti, dengan tumpuan khusus kepada pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran serta impak terhadap pembangunan modal insan tempatan.

Dalam ucapan penutup, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa ECERDC perlu meneruskan momentum pencapaian ini melalui fasilitasi yang cekap dan proaktif, bagi memastikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur terus muncul sebagai destinasi pelaburan utama di peringkat nasional.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button