Ekonomi

Pelaburan dana Singapura ke atas syarikat negara, bukti ekonomi Malaysia diyakini – PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pelaburan terkini oleh dana pelaburan Singapura itu ke dalam Sunway Healthcare membuktikan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia dan Sunway.

Beliau berkata, ia juga membuktikan prestasi terbaik Sunway dalam industri berkenaan serta potensi besar sektor penjagaan kesihatan di negara ini.

Katanya, mengikut laporan Fitch Solutions Macro Research, pasaran penjagaan kesihatan Malaysia dijangka meningkat 127 peratus kepada RM127.9 bilion pada 2027 berbanding RM56.3 bilion pada 2017.

“Kemudahan penjagaan kesihatan swasta yang telah lama wujud dan disokong oleh doktor yang berpengalaman dan diiktiraf antarabangsa serta kakitangan perubatan terlatih menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan perubatan di rantau ini.

“Pada 2019, negara menarik 1.3 juta pelancong penjagaan kesihatan antarabangsa dengan sejumlah RM1.7 bilion dalam resit hospital.

“Sebilangan besar pelancong penjagaan kesihatan berasal dari Indonesia, China, India, Bangladesh, Jepun, United Kingdom, Filipina, Australia, Singapura dan AS,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pemeteraian perjanjian pelaburan GIC dalam Sunway Healthcare itu.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah, berkata pelaburan GIC dalam Sunway Heathcare adalah satu pencapaian penting buat Sunway setelah meraih minat yang luar biasa daripada pelabur domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata, ia jelas menzahirkan keyakinan terhadap jenama Sunway dan rekod cemerlang dalam segmen penjagaan kesihatan yang semakin berkembang pesat dalam landskap ekonomi Malaysia.

“Selepas melalui proses penilaian terperinci dan menyeluruh, saya gembira untuk mengumumkan kerjasama dengan GIC, pelabur berpengalaman dalam penjagaan kesihatan global yang tidak asing lagi.

“Malah, saya juga yakin kerjasama Sunway-GIC akan meningkatkan nilai Sunway Healthcare dan dapat merealisasikan sepenuhnya potensi perniagaan penjagaan kesihatan,” katanya.

Ketua Pegawai Pelaburan Ekuiti Swasta GIC, Choo Yong Cheen, pula berkata pihaknya gembira untuk menyokong pertumbuhan masa depan Sunway Healthcare.

Beliau berkata, GIC juga yakin dengan potensi pertumbuhan jangka panjang syarikat penjagaan kesihatan itu di samping rekod pencapaian dan tumpuannya untuk menyediakan infrastruktur perubatan moden dan canggih.

Pengarah Urusan Sunway Healthcare, Lau Beng Long, berkata penyertaan GIC akan menyokong pengembangan hospital sedia adanya dan membina hospital baharu dan perniagaan penjagaan kesihatan sampingan di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya mahu memanfaatkan dan belajar daripada pengetahuan dan pengalaman penjagaan kesihatan serantau GIC untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Ketika ini, Sunway Healthcare mengendalikan dua hospital tertiari dengan gabungan kapasiti melebihi 800 katil dan lebih 400 pakar runding.

Pengendali penjagaan kesihatan itu dijangka meningkatkan kapasiti sedia ada kepada hampir 3,000 katil dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Sunway Healthcare juga mengendalikan perniagaan penjagaan kesihatan sampingan iaitu Sunway Specialist Centre Damansara, Sunway Medical Centre Singapore, Sunway Traditional dan Complementary Medicine Centre dan Home Care.

Ia turut bercadang untuk disenaraikan dalam pasaran saham tempatan dalam tempoh enam hingga lapan tahun akan datang.

Dana pelaburan kerajaan Singapura, GIC Pte Ltd melabur dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia apabila membeli 16 peratus kepentingan Sunway Healthcare Holdings Sdn Bhd, yang juga cabang penjagaan kesihatan Sunway Bhd pada harga RM750 juta.

Urus niaga itu, yang menilai Sunway Healthcare pada kira-kira RM4.7 bilion, dibuat atas dasar kesediaan pembeli dan penjual susulan penilaian cadangan pelbagai dana pelaburan domestik dan antarabangsa, dana pelaburan kerajaan serta firma ekuiti swasta.

GIC mempunyai rekod prestasi yang mantap dalam sektor berkaitan kesihatan dan penjagaan kesihatan di peringkat global dengan pelaburan dalam pasaran awam dan swasta di Amerika Syarikat (AS), Australia, Brazil, Filipina, China dan Vietnam.

Dengan langkah pengembangan itu, Sunway Healthcare akan muncul sebagai kumpulan penjagaan kesihatan swasta bersepadu terkemuka dengan memiliki rangkaian hospital dan perkhidmatan kesihatan di Malaysia dan Singapura.

(Visited 239 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button