EkonomiNasional

Pelabur asing kekal walau nilai aliran keluar mengecil

PELABUR asing terus kekal sebagai penjual bersih minggu ini, namun, jumlah nilai aliran keluar bersih mengecil kepada RM331.04 juta daripada RM444.92 juta minggu lepas.

Dari 29 Jun hingga 2 Julai, purata penyertaan asing berkurangan kepada 15.5 peratus berbanding dengan 16.3 peratus bagi tempoh sebelum itu.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dalam jangka tersebut, penjualan bersih oleh runcit tempatan pula bernilai RM39.7 juta dengan purata penyertaan sebanyak 36.49 peratus berbanding dengan pembelian bersih RM266.93 juta pada minggu sebelum ini.

Sementara itu, nilai pembelian bersih oleh institusi tempatan meningkat kepada RM370.75 juta dengan purata penyertaan mereka pada 48.02 peratus, daripada RM177.98 juta pada minggu lepas.

Beliau berkata penjualan bersih asing tidak banyak berubah pada awal minggu apabila dana luar pesisir hanya menjual ekuiti tempatan bernilai RM12.7 juta bersih pada Isnin.

“Kekurangan aktiviti penjualan adalah sejajar dengan peningkatan semula FBM KLCI sebanyak 0.5 peratus pada hari yang sama, dalam persekitaran minat baru terhadap kaunter sarung tangan dan penjagaan kesihatan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, penjualan bersih asing meningkat kepada RM79.2 juta pada Selasa, menjadikan nilai aliran keluar bersih asing bagi keseluruhan Jun 2020 berjumlah RM2.98 bilion.

Mohd Afzanizam berkata dagangan Julai bermula suram berikutan dana antarabangsa meningkatkan aktiviti penjualan pada Rabu, dengan menjual RM142.1 juta bersih nilai ekuiti tempatan, tertinggi untuk minggu ini.

Beliau berkata walaupun begitu, institusi tempatan pula aktif membeli ekuiti tempatan bernilai RM180.9 juta pada hari yang sama, didorong peningkatan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia, yang melonjak kepada 51 pada Jun —  paras tertinggi sejak September 2018 — daripada 45.6 pada Mei.

Pada Khamis, penjualan bersih asing susut kepada RM97.0 juta, meneruskan jualan sehingga 12 hari berturut-turut.

“Sentimen optimis pada Khamis — yang mengehadkan aliran keluar asing — dipacu oleh harapan daripada keputusan percubaan yang positif bagi kemungkinan vaksin COVID-19 yang diusahakan Pfizer (firma utama farmaseutikal Amerika Syarikat) bersama-sama dengan BioNTechm (syarikat bioteknologi Jerman),” katanya.

Beliau berkata berbanding dengan rakan serantau ASEAN — Thailand, Indonesia dan Filipina — Malaysia mencatatkan nilai aliran keluar asing kedua tertinggi iaitu RM16.52 bilion selepas Thailand setakat ini bagi 2020. – BERNAMA

(Visited 345 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button