BeritaEkonomi

FDI ke Malaysia lebih besar berbanding sebelumnya, kata PM

Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia adalah lebih besar berbanding sebelum ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“FDI kini lebih besar berbanding dahulu, dan kita patut gembira,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan kurang mahir dalam skil komunikasi untuk menyebarluaskan mesej mengenai usaha dan dasarnya yang baik.

“Kerajaan ini tidak pandai berkomunikasi dan memberitahu apa yang telah dilakukan. Namun percayalah, kerajaan sudah melakukan lebih banyak perkara berbanding mana-mana kerajaan lakukan dalam tempoh masa yang singkat, satu setengah tahun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia di sini hari ini.

Nilai FDI meningkat 10.3 peratus kepada RM667.5 bilion pada suku kedua 2019 berbanding RM605.1 bilion setahun lepas.

Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020 baru-baru ini meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-12 dalam kalangan 190 ekonomi dunia, peningkatan daripada tangga ke-15 tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dilaporkan berkata bahawa peningkatan kedudukan itu adalah hasil daripada komitmen dan usaha sama sektor awam dan swasta dalam kumpulan kerja teknikal di bawah Pasukan Petugas Khas bagi Memudahkan Perniagaan (Pemudah) untuk meningkatkan persekitaran bagi memudahkan proses menjalankan perniagaan.

Dr Mahathir juga berkata pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan akan mengambil masa sebelum hasilnya dapat dilihat.

“Kerajaan juga memperkenal dasar baharu ke atas sektor perindustrian, pertanian dan usaha lain berkaitan ekonomi.

“Kita juga sedar mungkin ada kegiatan-kegiatan, teguran-teguran dan aktiviti yang memberi kesan buruk kepada Pakatan Harapan, dan ini kita akan bincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan tidak lama lagi,” katanya.

Antara lain, Malaysia melancarkan Dasar Negara Mengenai Industri 4.0 (Industry4WRD) tahun lepas yang bermatlamat memacu Malaysia ke arah menjadi hab Industri 4.0 di Asia Tenggara.

Dasar Industry4WRD bertujuan meningkatkan produktiviti setiap pekerja sektor pembuatan di Malaysia sebanyak 30 peratus daripada RM106,647, yang akan meningkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi sebanyak 54 peratus kepada RM392 bilion daripada RM254 bilion.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan baru-baru ini merupakan perkembangan naratif baharu dalam usaha untuk menstruktur semula ekonomi supaya setiap orang dapat menikmati taraf kehidupan yang baik menjelang 2030.

Fokus WKB2030 adalah untuk mengurangkan jurang ekonomi antara kumpulan berpendapatan, etnik, kawasan dan rantaian bekalan, selain membolehkan Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan. – BERNAMA

(Visited 145 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button