Nasional

Pekerja swasta menang RM25,000 juarai Surfcasting Ambang Merdeka 2022 di Klebang

‘Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu’ itulah perumpamaan buat seorang pekerja swasta, Azren Hussin, 47, dari Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan apabila dinobatkan selaku juara pertandingan memancing Surfcasting Ambang Merdeka 2022 di Pantai Tambak, Klebang di sini hari ini.

Kejayaannya menaikkan ikan pari seberat 6.015 kilogram (kg) kira-kira pukul 9.40 pagi membolehkan dia memenangi hadiah wang tunai RM25,000 menewaskan seramai 1,170 peserta yang mengambil bahagian pada pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM90,000.

Menurut Azren yang masih belum berkahwin menyifatkan tuah buatnya menggunakan umpan udang hidup disambar ikan pari yang memaksa dia mengambil masa lebih sejam sebelum dapat menaikkan ikan tersebut.

Katanya, ini adalah kali kedua dia muncul juara dan kali pertama melakukannya pada pertandingan memancing di Bagan Pinang pada 2011 yang membolehkannya memenangi hadiah wang tunai RM10,000.

“Ini sudah rezeki saya dan wang kemenangan ini saya kongsi dengan tujuh rakan lagi yang turut sama menyertai pertandingan ini.

“Semalam saya menyertai pertandingan memancing di Telok Gong, Masjid Tanah tapi langsung tak menang apa. Mujurlah keputusan saya dan rakan menyertai pertandingan di Klebang membawa hasil yang lumayan,” ujarnya.

Hadiah kepada pemenang telah disempurnakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu, Samsuddin Johari dan Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Abdul Jameel Abdul Jabar.

Pertandingan anjuran Wak Jali Event di sokong oleh Tourism Malaysia serta UMNO Bahagian Tangga Batu adalah kali pertama dianjurkan di kawasan tambak Klebang yang menyaksikan sebanyak 590 ekor ikan pelbagai spesis berjaya dinaikkan peserta.

Tempat kedua dimenangi Mohd. Khairil Abdul Kadir, 31, dari Jitra Kedah apabila berjaya menaikkan ikan pari seberat 5.970 kg untuk menerima hadiah wang tunai RM6,000 manakala tempat ketiga menjadi milik Salehuddin Mohd. Noor, 57, dari Kuala Lumpur juga menaikkan pari seberat 5.340 kg menerima RM3,000.

Bagi Mohd. Khairil, dia sanggup menaiki bas dari Jitra semata-mata ingin menyertai dua pertandingan memancing iaitu di Telok Gong, Masjid Tanah semalam dan di Pantai Tambak Klebang hari ini.

“Tak sia-sia usaha saya sanggup naik bas akhirnya ikan yang saya pancing menggunakan udang hidup membawa tuah walapun hanya di tempat kedua memenangi hadiah wang tunai RM6,000,” ujarnya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun.

Menurutnya, dia tiba di Melaka sejak khamis disertai empat rakannya dari Kelantan dan Temerloh, Pahang.

Justeru katanya, hadiah wang tunai itu juga turut dikongsi dengan empat rakan yang lain dan selebihnya akan dihadiahkan kepada isterinya. – SM

(Visited 283 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button