Nasional

Komuniti Rukun Tetangga, Klik e-Usahawan bantu perkasa ekonomi setempat

MENTERI Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang telah merasmikan Program Pemerkasaan Projek Ekonomi Komuniti Rukun Tetangga Negeri Pahang dan melancarkan Program Klik e-Usahawan di Perpustakaan Desa Kampung Panching, Kuantan  hari ini bersempena dengan lawatan kerja rasmi beliau.

Sempena lawatan kerja rasmi ini, beliau berkesempatan melawat Projek Ekonomi KRT Negeri Pahang dan Pusat Pemprosesan Makanan Kering Jiran Wanita KRT Cenderawasih Timur.

Pemerkasaan Projek Ekonomi dan Pembangunan Pertanian Komuniti di peringkat KRT adalah antara fokus utama Kementerian bagi tahun 2023 selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Setakat ini, direkodkan hanya terdapat lima peratus (5%) KRT sahaja yang sedang melaksanakan projek ekonomi dan pertanian berbanding 7,761 KRT yang aktif di seluruh negara.

Kementerian mensasarkan lebih banyak KRT akan menerokai projek ekonomi dan pertanian di masa depan kerana ia merupakan aktiviti yang berimpak tinggi yang dapat meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup komuniti setempat.

Antara projek ekonomi yang dilaksanakan ialah Kebun Komuniti, Penternakan, Kraftangan, Produk Makanan dan Minuman, Perkhidmatan Katering, Pelancongan dan Rekreasi, Homestay, Produk Kesihatan, Jahitan dan  perkhidmatan.

Menteri Perpaduan Negara menyatakan hasrat agar semua KRT dapat mengorak langkah lebih jauh ke hadapan untuk mendepani pelbagai cabaran bukan sahaja dalam aspek perpaduan, malah mencakupi setiap aspek kualiti
hidup masyarakat.

Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh KRT perlulah lebih berfokus, berstruktur dan berimpak kepada kesejahteraan dan kelestarian komuniti. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua KRT atas
komitmen, kesungguhan dan pengorbanan sehingga berjaya melaksanakan projek ekonomi dan pertanian di kawasan masing-masing.

PROGRAM KLIK e-USAHAWAN

Program ini merupakan kolaborasi di antara Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bertujuan untuk melahirkan usahawan muda dan membantu menggunakan platform media sosial bagi mempromosikan produk-produk keusahawanan.

Menerusi program ini, kemudahan tempat latihan akan disediakan kepada golongan muda dan masyarakat setempat yang berminat menceburi bidang keusahawanan melalui perpustakaan desa yang lebih kondusif dan
selesa.

PNM sentiasa menyediakan ruang pembelajaran sepanjang hayat melalui pelbagai pendekatan dengan menawarkan perkhidmatan perpustakaan terbaik dan mencapai standard yang ditetapkan agar ia dapat digunakan secara optimum bagi membantu meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat tanpa mengira latar belakang suku kaum dalam memastikan semangat perpaduan di kalangan masyarakat dapat dilestarikan.

Program ini akan turut dilaksanakan dan diperluaskan ke- 506 buah Perpustakaan Desa di bawah seliaan PNM seluruh negara seiring dengan perkembangan dan penggunaan teknologi digital masa kini.

Menteri Perpaduan Negara berkata, Kementerian Perpaduan Negara menerusi Perpustakaan Negara Malaysia akan sentiasa mengorak langkah mengetengahkan idea-idea baharu yang dapat membantu membangunkan komuniti setempat.

Antara yang sedang dirancang adalah untuk menjadikan Perpustakaan Desa sebagai pusat tuisyen bagi pelajar-
pelajar yang akan menduduki peperiksaan.  – SM

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button