Jenayah

Peguam saman fitnah RM50 juta terhadap Ayob Khan

SEORANG peguam Kamal Hisham Ja’afar menghantar notis tuntutan saman fitnah RM50 juta terhadap Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay di Johor berikutan dakwaan yang dianggap memfitnah terhadap dirinya.

Notis guaman tersebut diserahkan oleh  Tetuan kamal Hisham & Associates kepada Ayob Khan pada 10.30 pagi tadi di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Diraja Malaysia Johor Bahru.

Notis tuntutan itu berkaitan sidang akhbar yang dilakukan oleh Ayob Khan bertajuk ‘Sidang media Ketua Polis Johor berkaitan seorang peguam dituduh lagi memperdaya sebuah syarikat pengiklanan dengan menyamar sebagai peguam Istana Johor’. Sidang akhbar berkenaan disiarkan secara langsung di Facebook pada 22 April lalu.

Dalam notis guaman tersebut, Ayob Khan didakwa telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang didakwa sebagai tidak benar dan berniat jahat.

Antaranya Ayob Khan didakwa memaklumkan terdapat laporan polis terhadap peguam itu pada tahun 2011 yang mendakwa peguam itu menyamar sebagai peguam kepada Istana Johor.

Ayob Khan juga didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa peguam tersebut telah melakukan kesalahan jenayah berkaitan pengubahan wang haram.

Serentak itu Ayob Khan dituntut supaya menarik balik kenyataan yang dibuatnya dan meminta maaf terhadap peguam terbabit dan berjanji tidak mengulangi tuduhan berkenaan.

Ayob Khan juga perlu membayar pampasan berjumlah RM50 juta bagi kerosakan imej dan reputasi akibat daripada kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau diminta untuk menunaikan tuntutan tersebut dalam tempoh 7 hari sebelum tuntutan undang-undang dibuat terhadap Ayob Khan.

Pada 22 April lalu Ayob Khan memberitahu media, pihak polis telah menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai peguam Istana Diraja Johor di Kampung Dato Onn.

Suspek yang juga seorang peguam berusia 51 tahun ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 9.40 pagi.

Beliau berkata, tangkapan itu susulan laporan polis dibuat pada 31 Mac 2011 berkaitan kes penipuan menyamar sebagai peguam diraja Johor dan memperdaya sebuah syarikat pengiklanan di Petaling Jaya, Selangor.

Ayob Khan berkata, kes tersebut dibuka semula untuk siasatan selepas mendapat fakta dan bukti baharu.

Suspek dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 23 April. -SM

(Visited 17,936 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button