Nasional

Semua pihak perlu beri perhatian soal penjagaan anak – Raja Puan Muda Perlis

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan bahawa sokongan sosial berkaitan penjagaan anak perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak termasuklah majikan.

Pemilihan perkhidmatan penjagaan anak harus dibuat dengan teliti dalam usaha meningkatkan lagi penyertaan kaum wanita dalam tenaga kerja termasuk mereka yang berpendidikan tinggi, sudah berkahwin serta memiliki anak-anak yang masih kecil.

Baginda turut menyarankan agar lebih banyak pusat jagaan anak-anak disediakan di tempat kerja sebagai salah satu langkah bagi meleraikan masalah kehilangan modal insan wanita yang berpotensi dan berkelayakan dalam bidang pekerjaan.

Pada masa yang sama, sokongan oleh suami dengan turut sama berkongsi tanggungjawab domestik yang selalunya dikhususkan kepada kaum wanita sangat memainkan peranan yang besar dalam mengurangkan bebanan harian wanita yang terlibat secara langsung dalam sektor pekerjaan.

Ini kerana kebanyakan dari para wanita bekerjaya terpaksa berhadapan dengan kekangan dan bebanan berlebihan akibat dari peranan dwi-pekerjaan iaitu tuntutan tanggungjawab di rumah dan juga di tempat kerja.

Justeru, pendedahan berterusan kepada masyarakat harus dilaksanakan agar para suami berfikiran lebih terbuka tentang peranan seorang wanita sekaligus turut mengimbangi penglibatan penjagaan anak di samping membantu melakukan kerja-kerja di rumah.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Sempena 20 Tahun Penubuhan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)’ pada pagi tadi.

Berangkat sama hadir ke program sehari secara atas talian anjuran Bahagian Kajian Institusi Raja dan Komuniti, Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri dan Masyarakat (CEICnet) UniMAP tersebut ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah yang juga adalah merangkap sebagai Pro-Canselor UniMAP dan Pengerusi YTF, pembangunan platform dan program bimbingan bagi memastikan negara tidak ‘kehilangan’ tenaga kerja wanita sama ada di sektor profesional ataupun di bidang-bidang yang lain harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Antara inisiatif yang dapat diambil adalah dengan meningkatkan lagi kemahiran digital dalam kalangan wanita agar sumbangan mereka terhadap tugasan dan pembuat keputusan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas, sekaligus dapat mencapai kemajuan yang membanggakan dalam sektor tenaga kerja.

Tambah Tuanku Raja Puan Muda, ‘Kaum wanita dijangka akan terus memberi sumbangan penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang diramalkan akan mencecah 22.6% menjelang tahun 2025 nanti’.

Antara panelis yang diundang bagi webinar tersebut ialah Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Mantan Naib Canselor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan UniMAP Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, Mantan Menteri, Tan Sri Datuk Sri Prof. Dr. Ng Yen Yen dan Mantan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Emerita Tan Sri Datuk Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.

(Visited 330 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button