MahkamahNasional

Peguam boleh ke mahkamah atas tiga urusan sahaja

SIDANG Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju memberi pengecualian kepada peguam yang perlu mewakili anak guam atas tiga urusan hadir di mahkamah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, peguam boleh hadir secara fizikal ke mahkamah dengan kebenaran polis untuk pertuduhan baharu, penahanan perintah reman dan permohonan jenayah pelbagai.

“Sektor perkhidmatan guaman tidak tersenarai di bawah kategori perkhidmatan perlu sepanjang PKP Fasa Pertama dari 1 Jun hingga 14 Jun 2021.

“Ini bermakna aktiviti-aktiviti perkhidmatan guaman (selain tiga urusan berkenaan) adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, kebenaran untuk ke mahkamah bagi peguam yang mewakili anak guam atas tiga urusan itu boleh diperolehi dari balai polis berdekatan.

Peguam dipohon merujuk SOP Perkhidmatan Guaman Sepanjang Tempoh PKP di platform komunikasi MKN, katanya lagi.

Takiyuddin juga berkata, kerajaan turut bersetuju firma guaman terlibat dengan perkhidmatan guaman korporat dan penyampaian bagi sektor perkhidmatan perlu memohon kebenaran beroperasi mengikut syarikat/kilang/perniagaan berkaitan perkhidmatan perlu yang diwakili.

Dalam hubungan ini, kata Takiyuddin dalam kenyataan yang sama, firma guaman yang mewakili syarikat/kilang/perniagaan boleh memohon kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Beliau meminta semua pihak mematuhi arahan kerajaan sepanjang PKP fasa pertama agar objektif melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 dapat dicapai. – SM

(Visited 217 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button