Nasional

Pegawai terlibat ketirisan perbelanjaan kerajaan tak akan terlepas tindakan

PEGAWAI yang terlibat dalam ketirisan perbelanjaan kerajaan tidak akan terlepas daripada tindakan tegas termasuk ditamatkan perkhidmatan.

Demikian kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Jawatankuasa Siasatan akan melihat semula Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 yang dikeluarkan Isnin lalu untuk mendalami laporan itu bagi memastikan pegawai yang bertanggungjawab ke atas isu-isu yang dibangkitkan.

“Selepas itu, perkara tersebut akan dibangkitkan dalam Jawatankuasa Tindakan Tatatertib untuk menentukan tindakan sama ada disabitkan atau dilepaskan,” katanya.

Mohd. Khairul Adib berkata, LKAN mempunyai satu panduan bagi JPA untuk menubuhkan Jawatankuasa Siasatan untuk meneliti laporan itu dan memanggil pegawai terlibat untuk menjalankan siasatan.

Tiada yang akan terlepas semua yang dibangkitkan akan diteliti dengan mendalam melalui Jawatankuasa Siasatan dalaman yang ditubuhkan di kementerian masing-masing,” ujarnya.

“Ada pegawai yang ditamatkan perkhidmatan dan diambil tindakan tegas bergantung kepada keseriusan penglibatan pegawai dalam isu-isu yang dibangkitkan oleh LKAN,” katanya lagi.

LKAN 2019 yang dibentangkan Isnin lepas mendedahkan tiga jabatan kerajaan gagal memastikan pematuhan terhadap syarat kontrak dalam perolehan secara sebut harga.

Menurut laporan itu, Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Penjara Malaysia dan politeknik didapati gagal memastikan pematuhan itu merangkumi spesifikasi dan syarat kontrak, kontrak rasmi dan pembayaran.

Ditanya berapa lama siasatan akan dijalankan, Mohd Khairul Adib berkata ia bergantung kepada kes yang mungkin melibatkan ramai pegawai dan negeri serta peluang diberikan kepada pegawai untuk mengemukakan hujah balas sebelum diambil tindakan.

Beliau berkata, setiausaha bahagian sumber manusia di kementerian masing-masing akan diberi jangka masa untuk membuat laporan yang kemudiannya akan dibentangkan di Lembaga Tatatertib yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.

“Ada kalanya pegawai tersebut dah bersara, kalau ada tindakan tatatertib, kami akan tahan persaraan dia selagi kes belum diselesaikan. Sekiranya sabit (kesalahan) maka hilanglah segala faedah-faedah persaraan dia,” katanya. – BERNAMA – SM

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button