Nasional

Pegawai kerajaan di Kedah banyak buat tuntutan palsu

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menerima banyak aduan mengenai kes tuntutan palsu, melibatkan penjawat awam di negeri ini, kata Pengarahnya Datuk Shaharom Nizam Abd Manap.

Beliau berkata pihaknya sangat mengalu-alukan inisiatif orang ramai terutama penjawat awam di pelbagai peringkat, yang sudi tampil menyalurkan maklumat berhubung kes berkenaan, walaupun ia hanya membabitkan nilai yang kecil.

“Saya terima panggilan secara terus daripada mereka yang mahu salurkan maklumat dan ramai yang memberi maklumat ini adalah dalam kalangan penjawat awam sendiri, mereka datang bersama pelbagai dokumen,” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi SPRM Kedah Bersama Rakan Strategik di sini, malam ini.

Shaharom Nizam berkata SPRM Kedah sentiasa mengamalkan konsep ‘pintu terbuka’, dan akan membuka kertas siasatan jika dakwaan adalah berasas dan disertakan dokumen-dokumen tertentu sebagai sokongan dan bukti.

Beliau berkata sehingga November ini, SPRM Kedah sudah menerima 442 maklumat atau aduan dan sebanyak 73 kertas siasatan dibuka, manakala sebanyak 114 tangkapan telah dilakukan.

Katanya SPRM Kedah juga sangat menggalakkan semua pihak sama ada daripada jabatan atau agensi kerajaan dan swasta, untuk berkolaborasi menganjurkan sebarang program bagi membanteras rasuah. – BERNAMA

(Visited 71 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button