Politik

Pegawai kanan istana tolak dakwaan cuba sekat Ismail, paksa kerajaan perpaduan

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin enggan melayan dakwaan seorang penulis blog yang mendakwa dirinya terlibat dalam cubaan menghalang Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai perdana menteri sekiranya tidak menubuhkan kerajaan perpaduan.

“Tolong jangan layan RPK, biarkan orang awam baca dan analisa sendiri,” katanya kepada MalaysiaNow, merujuk kepada penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Hal ini susulan gesaan pembangkang supaya Yang di-Pertuan Agong mengabaikan sokongan majoriti dari ahli-ahli Parlimen kepada Ismail dan sebaliknya menubuhkan kerajaan perpaduan yang turut melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Semalam, 114 ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan bebas dipanggil ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongan mereka kepada Ismail.

Bagaimanapun Raja Petra dalam satu hantaran di laman Malaysia Today semalam mendakwa terdapat cubaan untuk menghalang Ismail mengangkat sumpah sebagai perdana menteri sekiranya tidak bersetuju melantik Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri dan menubuhkan kerajaan perpaduan bersama PH.


Raja Petra turut menyebut Fadil dan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Perak Mohd Annuar Zaini sebagai “penyokong kuat” Anwar yang didakwanya menyebabkan dokumen-dokumen sulit Istana Negara tersebar kepada media.

“Tidak risau, berserah kepada Allah,” kata Fadil ketika ditanya berhubung dakwaan tersebut.

Raja Petra dalam satu hantaran pada 11 Ogos turut mempersoalkan “sumber istana” yang mendedahkan mengenai urusan dalaman Istana Negara.

Blogger itu seolah-olah menggambarkan Fadil adalah sumber tersebut dengan meletakkan gambarnya pada hantaran berkenaan.

Ismail dilaporkan sudah menerima sokongan 114 ahli Parlimen, sekali gus menjadikannya calon yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, manakala Anwar dilaporkan hanya mempunyai sokongan 105 ahli Dewan Rakyat.

Veteran DAP Lim Kit Siang pula mencadangkan calon yang kalah dalam persaingan sebagai perdana menteri dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menubuhkan kerajaan perpaduan.

(Visited 225 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button