Kecek

MBS khianati rakyat Syria?

SATU lagi watak sisi Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman (MBS) dalam konflik di Asia Barat didedahkan bekas perisik negara itu.

Kali ini, pewaris takhta Arab Saudi didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab menggalakkan Rusia supaya campur tangan dalam konflik dalaman Syria pada 2015.

Perkara berkenaan antara maklumat yang terkandung dalam fail pendakwaan yang dikemukakan Saad al Jabri kepada salah sebuah mahkamah di Amerika Syarikat pada Khamis lepas.

Bekas perisik itu mendakwa, lima tahun lalu MBS bagi pihak Damsyik telah bercakap kepada Presiden Vladimir Putin untuk mempengaruhi Kremlin supaya campur tangan di Syria meskipun kebanyakan penduduk Arab Saudi menyokong kebangkitan rakyat menentang pentadbiran Presiden Bashar al Assad.

Tambahnya lagi pada tahun yang sama dalam dua mesyuarat rasmi bersama Pengarah CIA, John Brennan, beliau memaklumkan bahawa MBS telah berhubungan dengan Putin.

Ketika itu Rusia belum lagi mengambil bahagian secara langsung dengan konflik yang berlaku di Syria.

Jika benar dakwaan ini, ia bermakna, MBS telah memainkan peranan sebagai “batu api” dan “talam dua muka” terhadap konflik di Syria.

Di satu pihak, Riyadh memberi bantuan kewangan dan senjata kepada kumpulan anti Bashar dan pada masa sama memberi idea kepada Rusia untuk campur tangan.

Saad mengemukakan dakwaan berkenaan dalam usahanya mendapat perlindungan daripada menjadi mangsa pembunuhan MBS dan konco-konconya.

Beliau yang menjadi pegawai kanan kepada Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Nayef, sempat melarikan diri ke Kanada pada 2017 selepas bekas ketuanya, disingkirkan dalam rampasan kuasa yang dirancang anak Raja Salman itu.

Dalam fail pendakwaan, Saad berkata MBS telah menghantar 50 pembunuh yang dikenali sebagai “The Tiger Squad” pada Oktober 2018, dua minggu selepas pembunuhan wartawan dan kolumnis, Middle East Eye (MEE) Jamal Khashoggi, untuk menamatkan riwayatnya.

Namun usaha berkenaan gagal kerana dapat dihidu pihak berkuasa Kanada.

Kini apa yang menjadi tanda tanya, nasib anak-anak dan saudara lelaki Saad yang dijadikan tebusan. Mereka dikatakan ditahan di lokasi rahsia oleh pemerintah negara itu dalam usaha memaksanya menyerah diri. – SM

(Visited 249 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button