JenayahNasional

Pegawai imigresen korup terima rasuah RM22,000 ditahan SPRM

SEORANG pegawai imigresen didakwa menerima rasuah berjumlah RM22,000 untuk membebaskan tahanan, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber memberitahu FMT, SPRM Selangor menahan pegawai itu atas dakwaan meminta rasuah RM22,000 untuk membebaskan dua warganegara China yang ditahan bulan lepas kerana menggunakan cap palsu untuk masuk dan keluar dari negara ini.

Pegawai berusia 26 tahun itu yang bertugas di bahagian operasi KLIA, ditahan pada pukul 7.45 malam Rabu selepas dia dikatakan menerima rasuah itu di sebuah stesen minyak dekat lapangan terbang.

Sumber itu juga memberitahu FMT, kes ini tiada kaitan dengan Ops Selat yang menyaksikan 39 anggota dan pegawai imigresen ditahan dan pegawai ini bekerja bersendirian serta didakwa sering berbuat demikian.

“Rasuah di KLIA sudah menjadi seperti satu wabak dan membimbangkan. Ini ialah masalah keselamatan negara. Pegawai korup bertugas memudahkan pendatang tanpa dokumen yang bermasalah keluar masuk negara kita.

“Tidak perlu lagi melalui kaedah haram atau mengharungi lautan bergelora untuk memasuki Malaysia. Lebih baik masuk melalui KLIA atau klia2. Ia lebih mudah, cepat dan selamat,” kata sumber itu.

Katanya lagi, pegawai itu ditahan susulan penahanan seorang ejen berusia 40 tahun yang ditemui bersama wang itu (RM22,000) pada tengah hari semalam.

Beliau berkata, selepas disoal siasat, ejen itu mendedahkan, wang berkenaan adalah untuk seorang pegawai imigresen KLIA.

“Modus operandi mereka ialah pegawai imigresen akan memberi maklumat warganegara China yang ditahan atas kesalahan imigresen di KLIA kepada ejen ini.

“Kerja ejen itu ialah menghubungi keluarga mereka di China untuk meminta rasuah bagi membebaskan tahanan itu.

“Keluarga di China kemudiannya akan menghubungi rakan mereka di Malaysia untuk membantu menyediakan wang dan serahkan kepada ejen itu,” kata sumber berkenaan.

Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM. – SM

(Visited 325 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button