NasionalNegeriUncategorized

Pegangan Islam di Perlis harmoni untuk semua pihak- Raja Muda

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titah memberikan peringatan untuk semua bahawa pegangan Islam di negeri ini adalah harmoni untuk semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama.

Titah Baginda, Islam yang diajar di negeri ini bersifat sejagat di mana kebaikan dan rahmatnya merangkumi semua kaum dan agama.

Sehubungan dengan itu, titah Baginda pendekatan Islam yang diajar di masjid-masjid, sekolah-sekolah dan kepada rakyat jelata juga perlu bebas daripada sebarang unsur perkauman dan permusuhan sesama rakyat disebabkan perbezaan kaum, parti politik dan agama.

Demikian titah perutusan Tuanku Syed Faizuddin sempena Simposium Guru Agama, NGO’s Islam Dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2022 di Auditorium Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Kangar hari ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

“Setelah melihat kepada kepentingan menuntut ilmu agama dalam kehidupan harian kita, maka semua kepimpinan utama dan jentera pentadbiran Kerajaan, para asatizah, NGO’s Islam dan para pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis serta semua rakyat yang menetap dan bekerja di Negeri Perlis hendaklah benar-benar memahami pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah,” titah Baginda.

Raja Muda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs dalam titah juga menjelaskan pegangan Perlis adalah tidak taksub kepada mana-mana mazhab fekah, tetapi sentiasa berusaha menepati al Quran dan al Sunnah.

“Maka kita semua hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dalam mengukuh dan memperteguhkan pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah seperti yang termaktub dalam al Quran dan al Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam,” titah Baginda. – SM

(Visited 140 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button