Politik

Pemuda UMNO gesa TH beku penjualan aset

Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Pengurusan Tabung Haji (TH) dan TH Plantation Berhad (THP)  untuk segera membekukan program rasionalisasi aset.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendesak pihak pengurusan TH dan THP agar menghormati kerajaan Perikatan Nasional yang baharu dilantik dan tidak terburu-buru ingin meneruskan sebarang penjualan yang diluluskan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof.

“Umum telah mengetahui bahawa penjualan aset-aset berharga milik TH seperti ladang-ladang kelapa sawit dan getah milik THP dan Hotel-hotel TH mendapat tentangan kuat daripada rakyat terutamanya pendeposit TH.

“Pembekuan ini mustahak bagi memastikan penilaian semula dilakukan oleh Kerajaan Baharu agar kepentingan pendeposit TH dan umat Islam umumnya mampu dipelihara dan dipertahankan,” kata Asyraf Wajdi.

Asyraf Wajdi mendakwa, setakat hari ini difahamkan, pihak THP telah memasuki Perjanjian Penjualan Saham (Share Purchase Agrement) untuk melupuskan 3 anak syarikat THP iaitu THP-YT Sdn Bhd, Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisammas Shd Bhd (MW).

Ia melibatkan tanah perladangan seluas 9,018 hektar atau 11.8% dari jumlah keluasan yang mahu dijual dibawah program rasionalisasi aset THP.

Sebelum ini dilaporkan empat hotel Tabung Haji (TH) di Kota Kinabalu, Bayan Lepas, Alor Setar dan Kuala Terengganu dipindah milik kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ).

TH berkata empat hotel itu akan diteruskan bawah anak syarikat milik penuh UJ, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM).

Hotel-hotel itu juga akan dikenali dengan nama baru Raia Hotel dan kekal dengan dengan konsep patuh syariah.

Kesemua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 bilion pada hari pemindahan, menurut TH.-SM

 

 

 

(Visited 120 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button