Sukan

PBM meterai kerjasama dua syarikat untuk penajaan

Pemeteraian kerjasama rakan strategik oleh Persekutuan Besbol Malaysia (PBM) dengan Syarikat Kronos dan New Era Malaysia diharap akan mampu membuka lembaran lebih luas kepada PBM dalam menjalin kerjasama dengan pihak industri lain untuk sama-sama menyumbang pelbagai tajaan di masa hadapan.

Usaha yang dilakukan oleh PBM dalam membina kerjasama yang baik dengan banyak pihak juga harus dipuji kerana ia mampu membantu PBM untuk lebih ke hadapan, mendapat sokongan dan tajaan. Kerjasama dengan pihak industri bukan sahaja menambah nilai kepada program pembangunan sukan besbol, malah memberi peluang PBM bertapak dengan lebih kukuh lagi di masa yang akan datang.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa ‘Majlis Sembah Mengadap Ahli Jawatankuasa Induk Persekutuan Besbol Malaysia Yang Baharu Ke Atas Tuanku Penaung DiRaja PBM’ yang diadakan secara dalam talian semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Penaung Persekutuan Besbol Malaysia mengucapkan tahniah kepada Presiden PBM yang baharu iaitu Sazali Husain serta seluruh Ahli Jawatakuasa Induk yang telah dilantik dalam Mesyuarat Agung Tahunan pada 28 Februari 2021 yang lalu.

Hadir sama bersama Sazali ialah Naib Presiden, Dali A Latiff Aw, Setiausaha Agung, Zaharah Hj Abdullah dan Bendahari, Siti Noor Aishah Samin.

Dalam pertemuan tersebut baginda menitipkan berbanyak penghargaan kepada mantan Presiden PBM iaitu Datuk Wan Azman Wan Omar di atas sumbangan dan jasa beliau selama 4 tahun mengetuai Persekutuan tersebut khususnya serta sukan besbol negara amnya.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda menitahkan tahniah kepada pasukan Besbol Wanita negara di atas pencapaian yang baik dalam ’Women Baseball Tournament 2019’ di Taipei, Taiwan yang lalu sehingga layak ke peringkat suku akhir sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia pada awal tahun lalu dan pertandingan-pertandingan secara fizikal terpaksa dibatalkan selepas itu. Baginda turut dipersembahmaklumkan bahawa pada ketika ini terdapat tiga pemain besbol remaja wanita dari Perlis sedang menunjukkan prestasi yang amat baik dan berpotensi untuk mewakili pasukan kebangsaan kelak.

Baginda mengakhiri titah dengan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-64 negara kepada semua ahli PBM sempena bulan kebangsaan yang sedang disambut ketika ini.

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button