fbpx
Uncategorized

Pavithra perlu tulis surat rasmi tidak teruskan pendakwaan Sugu

Sugu berdepan tuduhan miliki senjata, cederakan isterinya

MAHKAMAH Sesyen Ipoh menetapkan tarikh 8 September depan sebagai sebutan semula kes suami seorang Youtuber, M. Sugu, yang dituduh memiliki senjata dan mencederakan isterinya pada Julai lepas.

Hakim Norashima Khalid menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan meminta Youtuber sensasi, S.Pavithra, 28, menulis surat rasmi supaya tidak meneruskan pendakwaan terhadap suaminya, Sugu, 29.

Pada 24 Julai lepas, Sugu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dakwaan memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya dengan menggunakan telefon bimbit serta hulu sabit, empat hari sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Sebelum ini, Pavithra juga telah menarik balik laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Sungai Senam pada 22 Julai lalu.

Prosiding hari ini, lapor BERNAMA, dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi manakala Sugu diwakili S. Sundarajan.


Liyana ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya akan merujuk kepada Pengarah Pendakwaan negeri Perak selepas menerima surat rasmi tersebut yang perlu diserahkan oleh Pavithra sebelum 8 September ini.

Sugu yang merupakan bekas pekerja sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Siput didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 26 inci bertulis Tiger di parkir Wad Paliatuf PCU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada kira-kira pukul 6 petang, 21 Julai lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sabit kesalahan membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat.

Sugu juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian bibir, pipi sebelah kiri dan lengan sebelah kanan Pavithra dengan menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit di kawasan parkir HRPB antara pukul 4 hingga 5 petang, pada hari yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button