Nasional

Isma mahu pekebun haram durian dihukum kerana menceroboh

IKATAN Muslimin Malaysia (Isma) mahu memastikan penceroboh-penceroboh tanah di Raub dihukum di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan kerana menceroboh hartamilik.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknnya juga mahu pekebun terbabit dihukum di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kerana menduduki tanah secara haram di tanah kerajaan.

Aminuddin Yahaya

Jelas beliau, keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak permohonan 204 pekebun haram durian Musang King haram itu menandakan permulaan yang baik bagi kes tersebut.

“Kemenangan di mahkamah pagi semalam sebenarnya hanyalah suatu kemenangan kecil tetapi besar maknanya kepada rakyat Pahang kerana ianya menandakan permulaan yang baik bagi kes ini.

“Keputusan di mahkamah semalam itu adalah keputusan di mana pihak penceroboh mencabar notis pengosongan tanah oleh pihak berkuasa untuk keluar dari tanah tersebut dan bukannya bagi menghukum penceroboh-penceroboh tersebut pun.

“Maka, perjuangan kita masih lagi panjang dan tidak selesai pada takat ini sahaja. Kita akan bekerja keras bagi memastikan semua yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dan hak-hak warga Pahang dikembalikan,” katanya.

Amuniddin berkata, pihaknya juga akan mengusahakan tindakan bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat siri-siri pencerobohan tanah yang lain di seluruh negeri Pahang.

Ia bertujuan agar keadilan dapat ditegakkan dan kekayaan negeri yang dikaut dapat dikembalikan dan tidak hanya menguntungkan individu-individu tertentu secara tidak adil dan tidak sah.

“Kita menuntut agar kesemua penceroboh ini membayar segala kerugian yang ditanggung oleh kerajaan negeri yang sepatutnya menerima hasil cukai selama lebih 40 tahun yang mencecah jutaan ringgit.

“Ini duit rakyat yang sepatutnya dibelanjakan untuk kesejahteraan semua, termasuk pendidikan, kesihatan, membantu orang susah dan sebagainya,” kata Aminuddin.

Semalam, Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan kumpulan pekebun haram terbabit bagi semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan negeri.

Menurut Zainal Azam notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

Hakim tersebut juga berkata, sebagai pihak yang menceroboh, pekebun terbabit tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Pada 1 Ogos lalu, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.-SM

 

 

(Visited 275 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button