Nasional

Sarawak, Perlis jadi contoh negeri bebas Covid, amal CAPP

KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berharap negeri Sarawak dan Perlis kekal sebagai zon hijau bebas Covid-19.

Beliau turut berharap kedua-dua negeri tersus mengamalkan CAPP iaitu ‘Cegah dari awal’, ‘Amalkan norma baharu’, ‘Patuhi SOP’ dan ‘Pantau status kesihatan’.

Harapan itu diluahkan Dr. Noor Hisham di tengah-tengah negeri lain terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

“Negeri Sarawak dan negeri Perlis kekal sebagai negeri hijau. Semoga kekal mempertahankan status zon hijau dan mengamalkan CAPP sebagai negeri contoh,” ciap Dr. Noor Hisham di Twitternya.

Malaysia mencatatkan 1,153 kes baharu hari ini dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah sebanyak 15,294 kes.

Sarawak dan Perlis kekal zon hijau dengan tiada kes baharu dilaporkan sementara Selangor terus menjadi negeri tertinggi  melaporkan kes harian baharu iaitu sebanyak 401 kes.

Kuala Lumpur mencatatkan pertambahan sebanyak 281 kes dan Sabah yang melaporkan sebanyak 199 kes.

“Sehingga hari ini terdapat sebanyak 440 kluster telah dilaporkan termasuk lima kluster baharu pada hari ini.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 241 kluster termasuk tiga kluster yang tamatpada hari ini iaitu Kluster Softwood LD di Sabah, Kluster Besi Demak di Sarawak dan Kluster Rajawali di Pulau Pinang.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 199 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini,” kata Dr. Noor Hisham.

Di Sabah dua kluster baharu dikesan iaitu Kluster Keris Residence dan Kluster Brumas. Masing-masing satu di Selangor melibatkan Kluster Tapak Bina Zurah, Johor yang melaporkan Kluster Jalan Timah dan Kelantan yang mencatatkan Kluster Long Panji.

Kluster Keris Residence melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah. Kes indeks iaitu kes ke-80664 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Disember melalui saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini sejumlah 65 individu telah disaring dan 41 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Kluster Brumas melibatkan daerah Kalabakan di negeri Sabah. Kes indeks iaitu kes ke-74561 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 8 Disember hasil saringan kendiri.

Sehingga 19 Disember sejumlah 89 individu telah disaring dan 16 kes telah dikesan positif Covid-19.

Kluster Tapak Bina Jalan Zurah melibatkan daerah Petaling di negeri Selangor. Kes-kes telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 14 Disember melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan.

Sehingga hari ini sejumlah 450 individu telah disaring dan 49 kes telah dikesan positif Covid-19.

Kluster Jalan Timah melibatkan daerah Johor Bahru dan Kulai di Johor. Kes indeks iaitu kes ke-90535 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 18 Disember melalui saringan individu bergejala.

Sehingga 19 Disember sejumlah 238 individu telah disaring dan 26 kes telah dikesan positif Covid dalam kluster ini.

Kluster Long Panji melibatkan daerah Kota Bharu dan Machang di negeri Kelantan. Kes indeks iaitu kes ke-86605 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini sejumlah 202 individu telah disaring dan 11 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Sementara itu seorang lagi maut akibat Covid-19 melibatkan seorang wanita berusia 76 tahun yang dilaporkan meninggal Hospital Pulau Pinang.-SM

(Visited 333 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button