Acara

Pasukan UPSI Wind Orchestra Rangkul Emas & Markah Tertinggi di Festival Muzik Antarabangsa

TANJUNG MALIM, 3 Julai 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila pasukan UPSI Wind Orchestra merangkul Gold Award dan markah tertinggi dalam Kategori Terbuka sempena Malaysian International Wind Festival 2025, yang berlangsung dari 26 hingga 29 Jun di Multimedia University (MMU).

Festival anjuran Malaysian Concert & Marching Band Association (MCMBA) itu menyaksikan penyertaan daripada pelbagai institusi ternama dalam dan luar negara, namun pasukan 71 ahli dari UPSI berjaya menyerlah dengan prestasi penuh disiplin dan mutu persembahan yang mengagumkan.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian luar biasa tersebut:

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras, komitmen, dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh setiap ahli UPSI Wind Orchestra, para pensyarah pembimbing, serta semua pihak yang terlibat. Ia membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, tetapi juga berjaya melahirkan bakat seni bertaraf antarabangsa.”

Pasukan ini dibimbing oleh para pensyarah berpengalaman: Mohd Mustaqim Abdullah, Aiman Ikram Uyub, Zamrus Hashim, dan Wan Mohd Syaril Annuar Wan Mohd Harith, yang menjadi tonggak utama kejayaan berprestij ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, menyifatkan kemenangan ini sebagai bukti komitmen UPSI dalam mencapai kecemerlangan holistik yang selaras dengan aspirasi universiti: Ukhuwah – Prihatin – Santun – Impak.

“Kejayaan ini membuka lebih banyak ruang kepada kolaborasi seni antara institusi pengajian tinggi, dan memperkukuh peranan UPSI dalam memperkayakan landskap kebudayaan negara,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud, dan turut disaksikan oleh Presiden MCMBA, Wilson Tan.

Kemenangan ini sekaligus meletakkan nama UPSI di persada dunia muzik wind orchestra, dan menjadi inspirasi kepada generasi pelajar untuk terus mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button