BeritaPolitik

Zuraida masih anggota PKR, tidak sertai Bersatu

KUALA LUMPUR, 20 Jan — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin yang merupakan Naib Presiden PKR, tidak menyertai Bersatu, demikian jelas setiausaha politik beliau Nor Hizwan Ahmad.

Dalam mengesahkan hal itu, Nor Hizwan dalam satu kenyataan hari ini berkata Zuraida sehingga kini, masih fokus menjalankan tanggungjawab dan tugasannya, sebagai ahli PKR dan Ketua Cabang PKR Ampang.

Penjelasan itu dibuat merujuk kepada sebaran surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa borang keahlian Bersatu, kononnya adalah permohonan Zuraida bagi menyertai parti itu.

“Saya turut ambil maklum mengenai surat itu, yang menggunakan kepala surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Tindakan itu juga sangat tidak bertanggungjawab apabila mengaitkan kementerian dengan isu politik.

“Dengan tegas dinyatakan bahawa tularan itu adalah palsu dan merupakan kerja jahat dan amatur pihak tertentu, yang cuba menangguk di air keruh atas situasi politik dalaman parti, yang berlaku sekarang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 18 Jan lepas dilaporkan berkata surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin parti itu, berhubung dakwaan salah laku disiplin sudah dihantar kepada Zuraida.

Zuraida dalam satu majlis di Putrajaya ketika ditemui pemberita hari ini berkata, beliau akan menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan parti itu kepadanya dalam tempoh yang ditetapkan.

— BERNAMA

(Visited 335 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button