MahkamahNasionalUncategorized

Pendakwa Raya, Pejabat Peguam Negara yang melepaskan Zahid

PEGUAM Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Peguam Negara Tan Sri Harun Idris wajib memberikan penjelasan mengenai keputusan pendakwa raya memberhentikan prosiding terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, semalam.

Mohamed Haniff berkata, masyarakat perlu diperjelaskan bahawa keputusan semalam itu adalah keputusan pasukan pendakwaan dan bukannya keputusan pihak mahkamah.

Menurut beliau, apabila Pejabat Peguam Negara atau Peguam Negara melalui Timbalan Pendakwa Raya membuat keputusan untuk menggugurkan pertuduhan di bawah Perkara 145, ia adalah budi bicara mutlak Peguam Negara.

“Mahkamah tidak boleh menghalang atau menekan pendakwa raya untuk meneruskan mana-mana perbicaraan berlawanan dengan hasrat Peguam Negara tetapi apabila Peguam Negara membuat permohonan untuk menggugurkan kes, memandangkan kes itu berada di mahkamah, nescaya mesti diturut dengan perintah mahkamah.

“Di situlah mahkamah perlu membuat keputusan sama ada seperti yang dimohon untuk menggugurkan kes dengan perintah pelepasan tanpa pembebasan seperti yang dimohon oleh pendakwa raya ataupun perintah pelepasan dan pembebasan seperti yang dimohon dan dihujahkan oleh pasukan peguam Ahmad Zahid,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook miliknya, semalam.

Jelas beliau, sekiranya tertuduh dibebaskan maka tidak ada pertuduhan lanjut boleh dibawa terhadap mana-mana tertuduh atas fakta dan pertuduhan yang sama pada bila-bila masa akan datang.

“Kalau dilepaskan sahaja seperti yang diperintahkan pada hari ini (semalam) maka Pendakwa Raya boleh membawa kes semula jika mereka berpendapat mahu di masa akan datang atas fakta dan pertuduhan yang sama atau lebih kurang sama.

“Jadi, janganlah rakyat menuding jari atau membuat tohmahan bahawa mahkamah yang melepaskan Ahmad Zahid, yang melepaskan Ahmad Zahid adalah Pendakwa Raya, Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Mengulas tindakan pasukan pendakwaan memberhentikan prosiding, Mohamed Haniff berpandangan, pasukan pendakwaan perlu memberi sebab mengapa mereka memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

“Peguam Negara wajib beri sebab kenapa ditarik balik kerana pertama, tidak ada tanggungjawab undang-undang untuk tarik balik di tahap pendakwaan yang lewat.

“Kedua, mahkamah sudah buat penemuan ada kes prima facie dan ketiga, kalau mahu tuduh semula, perlu dilakukan daripada tahap awal.. apakah gunanya? Pendakwa Raya perlu memanggil semua saksi mereka dan beri keterangan semula,” katanya.

Menurut Mohamed Haniff, pandangan peribadi beliau berkaitan perkara ini tiada kaitan dengan Ahmad Zahid sebaliknya berkaitan sistem tadbir urus undang-undang jenayah yang di bawah seliaan kawalan dan tadbiran Pejabat Peguam Negara. – SM

BACA Selepas 5 tahun: Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan

BACA Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan: Suhu, darah rakyat terkawal?

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button