Sukan

Pasukan boling padang bersedia sepenuhnya kembali ke gelanggang

WALAUPUN tiga bulan tidak bersua muka dengan anak didiknya, namun ketua jurulatih boling padang negara Zuraidi Puteh percaya mereka akan kembali ke gelanggang dalam keadaan bersedia sepenuhnya.

Zuraidi berkata skuad boling padang negara direhatkan daripada latihan rasmi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 18 Mac lepas, dijangka memulakan latihan semula sebaik sahaja program Kem Latihan ‘Road To Tokyo’ (RTT) berakhir.

Buat masa ini, kemudahan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil ditutup kepada atlet lain sehingga kem latihan khas itu tamat pada 30 Jun ini, namun tarikh sebenar skuad boling padang akan dipanggil semula masih belum diputuskan.

“Walaupun di rumah, mereka semua bagus, buat latihan dan ikut semua perancangan yang diberikan. Mereka dibekalkan dengan jadual yang meliputi pelbagai jenis latihan untuk menguatkan kekuatan otot mereka.

“Sukan boling padang ini, apa yang penting adalah kekuatan otot atlet. Jadi antara latihan yang mereka lakukan ialah latihan balingan bola. Tidak kira bola apa kerana kita mahu mereka perbaiki teknik balingan serta postur badan mereka,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Zuraidi berkata selain latihan kekuatan otot, beliau juga turut memberikan motivasi kepada anak didiknya untuk memastikan kesihatan mental mereka berada dalam keadaan stabil ekoran perubahan ketara dalam rutin harian mereka.

Katanya, latihan serta perancangan yang diterapkan kepada pasukannya itu adalah bagi memastikan mereka kembali memulakan latihan dalam keadaan cergas dan mengurangkan kecederaan disebabkan tidak berlatih lama.

“Latihan nanti akan dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat…kita akan guna sistem berjadual dan penggiliran, hanya 10 atlet bagi setiap sesi latihan,” katanya.

Mengulas mengenai kejohanan pula, Zuraidi berkata Kejohanan Dunia 2020 dan Kejohanan Asia 2020, masing-masing ditunda ke bulan Mei dan September tahun hadapan.  – BERNAMA

(Visited 547 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button