Nasional

Pastikan pelajar komited dengan pelajaran – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar semua institusi sekolah sentiasa memberikan fokus kepada menyediakan kumpulan pelajar yang sentiasa komited dan berminat untuk terus belajar.

Titah baginda, sikap, minat dan komitmen untuk terus belajar merupakan hasilan penting daripada proses pembelajaran di bangku sekolah kerana inilah tujuan dan falsafah di sebalik proses pendidikan sepanjang hayat yang diterapkan.

Tuanku Raja Muda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program ‘MAIPs Peduli Bilangan ke 56 bagi tahun 2020’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Pavilion Syed Sirajuddin Areeb Putra, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri.

Keberangkatan tiba baginda diiringi anakanda kedua, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail disambut oleh Pengetua maktab berkenaan, Hj Maznan Maamor dan pengurusan kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Perlis.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang juga ADUN Beseri, Ruzaini Rais dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Raja Muda turut berkenan menyampaikan sumbangan pelitup separuh muka yang disumbangan oleh Konsortium BUMITA-NEPTA melalui kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan MAIPs yang diterima oleh Maznan.

Untuk rekod, MRSM Beseri telah ditubuhkan pada 1985 dan dirasmikan oleh Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 6 Julai 1988. Ia merupakan MRSM ke sepuluh terawal diitubuhkan oleh MARA di seluruh negara. Berbekalkan moto “MRSM Beseri Is The Best, The Best Is MRSM Beseri” menjadi pembakar semangat bagi 617 pelajar yang majoritinya berasal dari Perlis dan Kedah serta 121 guru dan kakitangan untuk terus mengorak langkah ke arah melestarikan kecemerlangan pendidikan negara.

Sempena program tersebut juga seramai tiga asnaf terpilih disantuni dan menerima sumbangan agihan zakat MAIPs daripada Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

(Visited 329 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button