MahkamahNasional

Nasib Siti Bainun diketahui esok

NASIB pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali akan ditentukan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok sama ada dipanggil membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella.

Hakim Izralizam Sanusi dijadual membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan, pada pukul 9 pagi.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Siti Bainun, 30, maka dia akan dipanggil membela diri.

Jika sebaliknya pengasas rumah kebajikan itu akan dilepas dan dibebaskan.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes tersebut yang bermula 30 Mac lalu.

Selain Bella, saksi lain termasuk bekas penghuni Rumah Bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.

Manakala peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan dan Nur Ellena Mohamed Razif mewakili Siti Bainun.

Siti Bainun mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – SUMBER FMT – SM

(Visited 70 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button