Nasional

Pelancaran Program “Hidangan Buah Nadir” dengan kerjasama MOTAC

PELANCARAN Program “Hidangan Buah Nadir” merupakan suatu eksplorasi tentang buah nadir yang memiliki khasiat luar biasa dan keunikan tersendiri.

Hari ini merupakan pelancaran program bersama hos untuk membawa anda ke pelbagai destinasi menarik seperti Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, dan Sarawak, di mana buah-buahan nadir seperti buah melinjau, nipah, kecupu, bambangan, dabai dan jambu golok akan ditonjolkan.

Objektif Program “Hidangan Buah Nadir” adalah untuk mempromosikan dan memartabatkan warisan budaya Malaysia, khususnya dalam konteks buah-buahan tempatan. Program ini disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan tujuan untuk menghargai, memelihara, dan menyebarkan pengetahuan tentang kekayaan buah-buahan tempatan kepada masyarakat tempatan dan pengunjung luar negara, serta memupuk kebanggaan dalam warisan Malaysia yang unik ini.

Pengarah Program Stage Master, Marina Sulaiman memberi ucapan di majlis pelancaran program

Program ini juga bertujuan untuk menggali dan mendedahkan keunikan serta khasiat buah nadir, yang kurang dikenali oleh masyarakat. Setiap episod program akan memberikan fokus kepada satu jenis buah nadir, dengan tujuan untuk menyelami dan merungkai segala aspek yang berkaitan dengannya. Program ini akan membawa penonton ke habitat asal buah nadir tersebut, hingga ke proses penyediaan hidangannya, dengan memberikan gambaran yang komprehensif tentang buah-buahan nadir ini.

Selain itu, program ini juga akan memberi penekanan kepada khasiat kesihatan yang terkandung dalam setiap jenis buah nadir. Penonton akan diberikan maklumat mengenai manfaat kesihatan dan penggunaan tradisional buah-buahan nadir ini.

Melalui program ini, diharapkan masyarakat akan lebih menghargai kekayaan buah-buahan tempatan dan memahami potensi besar yang terkandung di dalamnya dan topik ini akan dikupas oleh Prof. Dr. Muhammad Shahrim Karim, Profesor dalam bidang Makanan Warisan dan Budaya Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia.

Video program ini akan menjadi sumber maklumat yang sangat berharga kepada penonton.

Setiap episod berdurasi antara 20-25 minit untuk 8 episod yang akan menitikberatkan maklumat terpilih dalam setiap episod. Juga terdapat 16 episod bagi 2-3 minit kapsul video bagi tontonan informasi lebih ringan. Keseluruhan akan menonjolkan 16 jenis buah nadir yang unik.

Program ini akan dikendalikan oleh hos Akhmal Nazri dan akan melibatkan selebriti terkemuka seperti Datuk Ramli Sarip, pempengaruh Chef Richard dari “Richard is Cooking,” dan Satthiya Kandi. Mereka akan memainkan peranan penting sebagai duta yang mewakili pelbagai etnik di Malaysia dalam usaha mempromosikan warisan buah nadir negara kita.

Semoga program ini menjadi satu perjalanan yang penuh makna, mengajak semua untuk turut serta dalam menjaga khazanah dan memelihara warisan berharga ini dengan penuh kesedaran dan kebanggaan. – SM 

Artikel berkaitan > KOPPEMA-Tourism Malaysia memperkenalkan Malaysia Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023

 

 

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button