KesihatanPenyakit

Raja Perlis saran masyarakat supaya jaga kesihatan buah pinggang

KANGAR, 16 Jun (Bernama) — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah menasihati seluruh rakyat supaya mengambil langkah awal bagi penjagaan kesihatan buah pinggang.

Baginda bertitah penjagaan organ berkenaan sering dipandang remeh oleh masyarakat malah apa yang lebih membimbangkan, penyakit itu juga tidak menunjukkan sebarang simptom jelas sehinggalah ia dikesan menerusi pemeriksaan kesihatan.

“Buah pinggang merupakan antara organ penting dan berperanan mencuci darah dari sisa buangan serta lebihan air yang diperlukan tubuh seseorang.

“Di Malaysia setiap hari sekurang-kurangnya 10 orang penduduk didiagnos mengalami kerosakan buah pinggang kronik atau di peringkat lima dan memerlukan rawatan dialisis berterusan,” titah baginda pada Majlis Perasmian Bangunan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Mohd Fikri Ujang, barisan exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Menurut beliau projek pembinaan pusat dialisis itu telah menelan belanja sebanyak RM6.2 juta dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

— BERNAMA

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button