
Pas tidak pernah rugi dalam mana-mana kerjasama politik
SEMUA kerjasama politik yang dijalinkan oleh Pas sama ada dengan parti lawan atau kawan tidak pernah merugikan parti itu.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Mohd Asri Mat Daud berkata, kaedah kerjasama ‘tahaluf dan taawun’ merupakan senjata yang paling ampuh bagi gerakan Islam menghadapi perubahan zaman,
Bahkan katanya, ia ditambah baik menepati keperluan dan tuntutan semasa politik.
Katanya ini terbukti pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos 2023 menyaksikan gabungan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan empat buah negeri.
“Pendekatan ‘taawun siyasi’ (kerjasama sekarang) tidak ketat berbanding ‘tahaluf siyasi’ (kerjasama ketika dalam PR) dan sangat perlu dijadikan mekanisma sentiasa dikemaskini daripada semasa ke semasa.
“PAS tidak pernah rugi bahkan kita sentiasa dikurniakan dengan pembukaan dan kemenangan melalui pintu ‘tahaluf siyasi’ dahulu,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook.
Kerjasama politik PAS sejak tahun 1990 bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan kini Perikatan Nasional (PN) tidak pernah merugikan parti itu.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri itu turut mengimbau sejarah ‘tahaluf’ Pas bermula pada era 70-an melalui parti Perikatan sehingga berjaya memerintah dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu sejak 1959.
“Semua ‘tahaluf’ ini mempunyai disiplin dan ketetapan yang dibuat dengan sangat cermat, kita tidak pernah mengkhianati kawan ‘tahaluf’, tetapi terpaksa keluar ‘tahaluf’ kerana rakan ‘tahaluf’ melanggar syarat.
“‘Tahaluf’ sebegini juga akan menjadi mekanisme dalam percaturan malhamah akhir zaman, umat Islam akan bergabung dengan sesiapa sahaja mencapai kemenangan dan mengukuhkan kuasa pemerintahan,” katanya. – SM