
Pas sokong tindakan, siasatan terhadap pihak yang tak peka simbol negara
PAS menyokong apa sahaja siasatan dan tindakan tegas diambil mengikut undang-undang terhadap mana-mana pihak yang gagal menunjukkan kepekaan serta rasa hormat terhadap simbol negara, termasuk Jalur Gemilang.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu wajar berikutan kekerapan insiden seumpamanya sejak kebelakangan ini, membabitkan bukan sahaja individu, malah organisasi media, badan politik dan kementerian kerajaan.
“Pas akui kejadian terbaru ialah kesilapan pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 anjuran Pas Negeri Terengganu yang memaparkan imej Jalur Gemilang dengan bilangan bucu bintang serta jalur merah-putih tidak lengkap.
“Atas kesedaran tentang kekhilafan itu Pas Terengganu telah membuat permohonan maaf terbuka dan membetulkan kesilapan tersebut dengan kadar segera sebaik sahaja ditegur, malah mengambil tindakan terhadap petugasnya yang terlibat.
“Namun sejujurnya Pas bersetuju dan akur bahawa permohonan maaf semata-mata tanpa tindakan yang lebih tegas tidak boleh dinormalisasikan sebagai jalan penyelesaian bagi kesilapan sedemikian,” ujarnya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, Pasmenyokong tindakan dalaman diambil pihak terbabit, selain menyeru pihak berkuasa bertindak secara telus dan adil bagi mengelakkan kejadian berulang.
“Sebagai warganegara, Pas percaya semua pihak wajib menunjukkan rasa hormat dan bangga tertinggi terhadap simbol-simbol negara pada setiap masa dan keadaan sebagai cerminan jati diri kebangsaan dan patriotisme kita,” katanya. – SM